Kes Isa Samad dipindah ke Mahkamah Tinggi

Isa
Isa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memindahkan kes bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Azura Alwi memindahkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

"Permohonan itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada 2 April lepas dan telah dibenarkan," kata Umar Saifuddin semasa sebutan semula kes itu dan menambah tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi akan ditetapkan kemudian.

Peguam Ridha Abdah Subri dan Lavinia Kumaraendran mewakili Mohd Isa, 70.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: