Dua ditahan kes samun bersenjata

Pakaian dan pisau yang digunakan suspek ketika menyamun sebuah rumah di Kampung Gajah.
A
A

KAMPUNG GAJAH - Dua lelaki ditahan pihak polis selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun bersenjata di dalam sebuah rumah di Kampung Pengkalan Nibong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 27 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Kampung Tersusun Balun Bidai di Kampung Gajah pada jam 2.25 petang.

Menurut Mohamad Zainal, kejadian samun berkenaan berlaku pada jam 4.15 pagi ketika pemilik rumah yang bekerja sebagai tukang masak sedang tidur bersama dua anaknya sebelum menyedari suspek berusia 31 tahun memecah masuk rumah mereka.

"Ketika kejadian wanita berusia 47 tahun ini sedang tidur sebelum menyedari ada seorang lelaki yang tidak berbaju dan menutup mukanya dengan baju masuk ke dalam rumah melalui tingkap dapur jenis kayu.

"Lelaki berkenaan kemudiannya mengacukan pisau ke arah wanita berkenaan dan meminta wang serta telefon bimbit. Disebabkan takut mangsa bertindak menyerah wang berjumlah RM130 dan sebuah telefon bimbit jenis Lenovo," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri melalui tingkap dapur ke arah semak belakang rumah dan mangsa telah tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

Menurut Mohamad Zainal, dalam kejadian itu, mangsa dan dua anaknya yang berusia 22 dan 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.



Katanya, soal siasat terhadap suspek utama mengaku terlibat dalam kes samun tersebut dan duit hasil samun itu telah digunakan untuk membeli dadah jenis syabu manakala telefon bimbit milik mangsa pula berjaya dirampas di rumah suspek ditangkap.


“Suspek berusia 27 tahun itu mengaku berperanan sebagai tukang hantar suspek utama ke rumah mangsa.


“Ujian awalan air kencing kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine dengan kedua-duanya turut mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah,” katanya.