'Tikus tanah sebesar kucing...'

Ancaman tikus tanah yang dibangkitkan penduduk SUTRA 1 yang didakwa berlarutan sejak lebih 10 tahun.
A
A

SAUJANA UTAMA – Lebih 200 penduduk di Saujana Utama Fasa 1 Seri Pagi (SUTRA 1), di sini berdepan masalah tikus tanah yang disebabkan sistem perparitan tidak sempurna sekali gus mengundang ancaman jangkitan penyakit.

Lebih membimbangkan, bukan sedikit tetapi ribuan tikus tanah menjadikan lubang pada longkang sebagai habitat dan mengganggu simpanan makanan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk SUTRA 1, Wan Ismail Hashim berkata, isu ini sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun selepas didakwa tiada kerja penyelenggaraan sistem longkang.

“Penduduk merungut sebab saiz tikus tanah ni bukannya kecil...ada sebesar kucing dan kucing pun tak lalu nak makan tikus ni sebab baunya busuk macam bangkai.

“Kalau malam-malam tu memang banyak tikus dan isu ini sudah dibangkitkan kepada pihak berwajib namun sehingga kini tiada penyelesaian konkrit,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang penduduk, Anuar Ali, 50, berkata, isu longkang tersumbat dan tidak mengalir sempurna juga menjadi salah satu masalah kepada penduduk setempat sehingga kawasan ini menjadi hotspot wabak denggi.

Khairul Annuar (kiri) bersama Wan Ismail (kanan) bersama penduduk meninjau longkang yang tidak mengalir sempurna.
Khairul Annuar (kiri) bersama Wan Ismail (kanan) bersama penduduk meninjau longkang yang tidak mengalir sempurna.

“Memang tak dinafikan tikus tanah banyak sampai masuk rumah. Kalau boleh pihak berwajib dapat bantu selesaikan isu tikus ni supaya tak melarat kemudian hari.

“Kalau boleh longkang yang bermasalah dan bertakung air tu dibaiki segera supaya aliran air dapat berjalan sempurna sebab kalau dibiarkan macam tu dengan bau busuk, takut jadi habitat nyamuk,” katanya.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Khairul Annuar Jalaluddin pula berkata, penduduk bimbang ancaman tikus tanah ini yang boleh mengundang risiko kesihatan.

“Penduduk mohon pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membantu menyelenggara longkang kerana risiko penyakit bawaan tikus boleh mengganggu gugat penduduk.

“Masalah lebih serius apabila tikus ini menyelinap masuk dapur penduduk dan makan bekalan makanan penduduk...jadi perkara ini wajar diberikan perhatian,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat turut memaklumkan, pihaknya akan mengarahkan pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pembersihan longkang.

“Sekarang ini, kerja pembersihan di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan akan minta kontraktor mengorek longkang sebu supaya tanah yang menjadi habitat tikus dapat dibersihkan.

“Pada masa sama, kita menggalakkan penduduk setempat menyertai Kempen Kawalan Tikus 2019 yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember nanti.

“Ganjaran RM3 setiap seekor tikus yang berjaya ditangkap sama ada hidup atau mati diberikan bagi menggalakkan lagi tangkapan tikus dibuat dan setakat ini sambutan menggalakkan,” katanya.

253468
253468

Bagi Penyelia Kawasan Zon Pembersihan KDEB, Mohd Shariff A Wahid, pihaknya turut maklum mengenai isu longkang ini yang dikaitkan dengan ancaman nyamuk dan tikus.

“KDEB pun sedang meneliti aduan yang dipanjangkan penduduk dan kalau ikut jadual, memang ada masuk ke kawasan yang bermasalah untuk mengenal pasti isu termasuk tikus ini.

“Saiz tikus pun besar macam kucing dan dikenal pasti banyak lubang di dalam longkang dipercayai menjadi habitat haiwan perosak ini dan insya-ALLAH pihak kami akan bekerjasama untuk membantu menyelesaikan isu ini,” katanya.