Jacinda Ardern 'belanja' wanita tertinggal dompet

Jacinda Ardern
A
A

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sekali lagi menunjukkan ciri pemimpin yang baik.

Kali ini, Ardern dilaporkan membantu seorang wanita membeli barangan runcit yang dilihat bakal meningkatkan lagi reputasi beliau yang mendapat pujian banyak pihak selepas insiden serangan ganas ke atas dua buah masjid di Christchurch pada 15 Mac lalu.

Beliau bagaimanapun enggan menceritakan tentang insiden itu yang didedahkan di media sosial melibatkan ibu kepada dua anak yang tertinggal dompetnya ketika dia mahu membayar di kaunter.

"Ardern belanja rakan saya yang terlupa membawa dompet," kata pengguna Twitter, Helen Burness.

Pemimpin berusia 38 tahun itu pantas menjawab persoalan ketika ditanya kenapa beliau membantu wanita itu.

Ardern hanya membalas ringkas, 'kerana dia seorang ibu'.

Beliau yang dikurniakan seorang puteri pada Jun tahun lalu menjadi perdana menteri kedua melahirkan anak ketika masih memegang jawatan malah beliau turut membawa bayinya ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Sebelum ini, sifat empati beliau termasuk bertudung ketika melawat keluarga mangsa serangan Christchurch dan mengetatkan pemilikan senjata di negara itu mencuri perhatian banyak pihak. - AFP