PRK DUN Rantau: Jangan buat fitnah untuk menang

PRK Rantau

Suraya Yaacob
Suraya Yaacob
A
A
A

PENDANG - Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob menasihatkan pihak tertentu agar tidak menabur fitnah meskipun kelihatan terdesak untuk beroleh kemenangan dalam PRK Rantau.

Suraya berkata demikian berikutan tular gambar beliau sedang menghulurkan barangan kepada orang ramai.

Katanya gambar itu turut mendakwa kononnya beliau merasuah pengundi di PRK DUN Rantau.

"Sedangkan pada ketika itu saya berada di Kedah, bukan di Negeri Sembilan dan sebenarnya gambar yang ditularkan itu merupakan salah satu program agihan bantuan kecil kepada masyarakat di Kampung Lahar Tunjung, yang terletak di DUN Sungai Tiang, Pendang," katanya.

Menurut Suraya, wakil rakyat BN tidaklah mewah diberi peruntukan oleh Kerajaan PH untuk disalurkan kepada rakyat.

"Namun begitu kami rela berkongsi seadanya bagi meringankan beban yang kian menekan di zaman Malaysia Baharu.

"Jika pihak lawan kehabisan modal sekali pun, usahlah sanggup menabur fitnah sebegitu kerana selain berdosa besar hukumnya, amat memalukan apabila fitnah itu 'kantoi' dan dapat dipatahkan begitu mudah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suraya juga menyeru pihak lawan agar berkempenlah dengan sihat dan adil kerana rakyat tidak bodoh untuk diperbodohkan sekali lagi.

Artikel Berkaitan:

"Cukuplah dengan strategi memfitnah dan menipu pada PRU14 yang lalu, rakyat kini majoritinya sudah celik dan mampu berfikir," katanya.