Khazanah alam tersembunyi di Bukit Fraser

A
A
A

Credit foto: WWF Malaysia
Credit foto: WWF Malaysia

CIMB Islamic dan WWF-Malaysia bekerjasama mendokumentasikan pelbagai flora di Kompleks Hutan Bukit Fraser seluas 83,000 hektar itu

RAUB - Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dengan sokongan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) melaksanakan usaha menghasilkan inventori dan katalog khazanah botani di kawasan Kompleks Hutan Bukit Fraser seluas 83,000 hektar.

Selain bertujuan untuk memahami kepelbagaian spesies bunga, endemisme dan status pemuliharaan kawasan tersebut, projek inventori botani itu dijalankan bagi menyediakan penilaian dan cadangan bagi menjayakan pemuliharaan pelbagai spesies termasuk habitatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman berkata bagi menjayakan projek tersebut, CIMB Islamic memberikan sokongan dana sebanyak RM443,900 hasil sumbangan daripada Akaun Simpanan EcoSave-i, iaitu satu produk bank tersebut yang bertumpu kepada alam sekitar, di mana CIMB Islamic akan menyumbang sebanyak 0.2 peratus daripada jumlah purata baki portfolio untuk inisiatif yang memfokuskan tujuan hijau dan sosial.

Beliau berkata, langkah itu juga selari dengan agenda Rangka Tindakan Sektor Kewangan oleh Bank Negara Malaysia yang menekankan penyediaan sistem kewangan Malaysia lebih mampan dan mesra iklim.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim ketika meninjau antara tumbuhan yang terdapat di Hemmant’s Trail di Bukit Fraser pada Sabtu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim ketika meninjau antara tumbuhan yang terdapat di Hemmant’s Trail di Bukit Fraser pada Sabtu lepas.



“Kami berharap agar kerjasama bersama WWF-Malaysia akan menyumbang secara positif ke arah penambahbaikan alam sekitar, komuniti tempatan dan ekonomi, sejajar dengan proposisi jenama baharu CIMB Group, ‘Melangkah ke hadapan bersama,’ di samping menyemarakkan semangat kemerdekaan menjelang Hari Kemerdekaan yang bakal tiba.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran projek tersebut di Bukit Fraser pada Sabtu lepas yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim.

“Kami juga mahu sentiasa berada di barisan hadapan untuk menerapkan agenda Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan memperjuangkan inisiatif mengutamakan impak positif kepada masyarakat termasuk dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.

Usaha jadikan Kompleks Hutan Bukit Fraser sebagai Taman Negeri

AHMAD SHAHRIMAN
AHMAD SHAHRIMAN



Sementara itu, Ahmad Shahriman berkata, sebagai kawasan biodiversiti yang signifikan, masih tiada kajian botani menyeluruh dilihat dilakukan di Kompleks Hutan Bukit Fraser itu setakat ini dengan komposisi floranya yang paling kini masih belum diketahui.

Sehubungan itu, beliau berkata, hasil projek bakal dilaksanakan bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu diharap dapat membantu dalam menyediakan hujah yang kukuh untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai Taman Negeri.

Ahmad Shahriman (kiri) dan Sophia ketika melancarkan kerjasama usaha mengumpulkan inventori flora Kompleks Hutan Bukit Fraser, di sini, pada Sabtu.
Ahmad Shahriman (kiri) dan Sophia ketika melancarkan kerjasama usaha mengumpulkan inventori flora Kompleks Hutan Bukit Fraser, di sini, pada Sabtu.

“Perkara penting selain usaha mewujudkan kesedaran orang ramai adalah supaya melalui inventori bakal dihasilkan itu, ia dapat memberikan justifikasi saintifik yang kuat kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk menjadikan ia sebagai Taman Negeri,” jelas beliau.

Dalam usaha untuk terus memangkin semangat kelestarian (sustainability) dalam kalangan masyarakat, CIMB Group bakal menganjurkan sidang kemuncak ‘The Cooler Earth Sustainability Summit’ pada 20 hingga dan 24 September 2022 dan kemasukan adalah percuma. Peserta yang berminat boleh melayari coolerearth.cimb.com untuk pendaftaran.

Edisi keempat sidang kemuncak tersebut, di mana WWF-Malaysia turut menjadi rakan kongsi ilmu, akan menghimpunkan para pemimpin, cendekiawan, individu dan ahli perniagaan untuk menggalakkan wacana yang lebih meluas tentang kelestarian dalam membentuk masa depan yang lebih mampan.

Sophia Lim, berkata, Kompleks Hutan Bukit Fraser memenuhi tiga kriteria penting ditetapkan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) yang melayakkan ia sebagai Kawasan Tumbuhan Penting.

SOPHIA LIM
SOPHIA LIM

“Ini kerana hutan pergunungan adalah rumah kepada khazanah semula jadi yang unik terdapat di hutan tropika tanah rendah negara terutamanya spesies flora yang tumbuh subur dalam iklim lebih sejuk,” katanya.

Sophia berkata, projek di bawah Program Pemuliharaan Terrestrial Semenanjung Malaysia itu merupakan sebahagian daripada program pemuliharaan flora Bukit Fraser yang dijalankan WWF-Malaysia selama tiga tahun bermula Disember 2021 hingga 2024.

Menurutnya, objektif lain yang mahu dicapai menerusi projek tersebut adalah menyediakan buku panduan flora Bukit Fraser; pembinaan papan tanda bagi menggalakkan pelancongan bertanggungjawab; membuat lawatan video 360 darjah flora dan landskap serta mewujudkan pertandingan berkumpulan bertumpu kepada alam flora.

Dalam pada itu, Sophia berkata, sebagai kawasan utama biodiversiti di dalam negara, Kompleks Hutan Bukit Fraser melalui beberapa sungai di kawasan tersebut itu juga merupakan kawasan tadahan air yang penting.

"Sungai-sungai ini mengalir ke Sungai Pahang dan memberikan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat, daripada masyarakat orang asli yang mendiami hutan sehingga kepada mereka yang duduk di kawasan hiliran di bandar.

“Atas sebab ini juga, WWF-Malaysia membayangkan masa depan yang cerah untuk Kompleks Hutan Bukit Fraser bagi membolehkan ia dilindungi dan diurus secara mampan dan seterusnya menyediakan perkhidmatan ekologi penting kepada manusia,” ujarnya.

Di bawah projek tersebut, WWF-Malaysia turut melakukan usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan flora dalam mengekalkan ekosistem dan kesejahteraan manusia melalui tiga acara yang diadakan secara maya pada Jun lalu bertajuk ‘Flora Saturday Series’.