Tok Mat tiada masalah jumpa Tun M

Mohamad ketika bercakap pada sidang media di command centre BN, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ADAM AMIR HAMZAH
Mohamad ketika bercakap pada sidang media di command centre BN, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ADAM AMIR HAMZAH
A
A
A

SEREMBAN - Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan tiada masalah untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya beliau turun berkempen di PRK DUN Rantau.

Mohamad berkata, ini kerana beliau boleh berjumpa dengan sesiapa saja ketika kempen berlangsung.

"Tengoklah kalau terjumpa, saya jumpalah. Saya pernah bekerja di bawah beliau, tak ada masalah.

"Saya tak bermusuh dengan siapa-siapa dan kita kempen cara sihat, sesiapa saja saya boleh jumpa. Kalau saya boleh jumpa pakcik makcik, takkan Tun Mahathir saya tak boleh jumpa," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di sini, hari ini.

Dalam PRK Port Dickson, Cameron Highlands dan Semenyih yang lalu, Dr Mahathir turut menyertai program bagi membantu calon PH.

Bagaimanapun, setakat ini masih tiada pengesahan sama ada Dr Mahathir akan turun membantu kempen PRK DUN Rantau.

Dalam pada itu, Mohamad menafikan PRK DUN Rantau lebih dilihat sebagai pertandingan antara beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding calon PH, Dr S Streram.

"Memandangkan PKR yang bertanding, sudah semestinya Anwar jalankan tugas sebagai ketua partinya. Macam saya juga selaku pemangku Presiden UMNO akan turun di mana-mana PRK, tapi tak bolehlah kata saya nak bertanding di sana," katanya.

Artikel Berkaitan: