Dr Streram optimis 70 peratus pengundi luar pulang mengundi

Dr S Streram (tengah) bersama penduduk pada program gotong royong membersihkan kawasan masjid Kampung Siliau sempena kempen PRK DUN Rantau, hari ini. -Foto Bernama
Dr S Streram (tengah) bersama penduduk pada program gotong royong membersihkan kawasan masjid Kampung Siliau sempena kempen PRK DUN Rantau, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Calon PH PRK DUN Rantau Dr S. Streram optimis 70 peratus daripada pengundi yang berada di perantauan pulang mengundi pada 13 April ini.

Dr Streram berkata terdapat kira-kira 30 peratus daripada 20,926 pemilih yang layak mengundi bagi PRK Rantau tinggal di luar kawasan.

"Kita ada banyak strategi dan ada pasukan khas yang menghubungi pengundi-pengundi luar untuk pulang mengundi.

"Kita mulakan strategi ini sejak dua minggu lepas dan mengingatkan mereka supaya menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya kepada pemberita selepas aktiviti gotong-royong bersama penduduk dan penghuni Penjara Negeri Sembilan di Kampung Siliau di sini hari ini.

Bagi DUN Rantau ini, sebanyak 20,926 pemilih layak mengundi bagi PRK tersebut mengikut daftar pemilih induk tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 25 Feb 2019.

Daripada jumlah itu, seramai 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat orang pengundi luar negara. Sementara itu, Dr Streram berkata terdapat keperluan untuk menambah baik gelanggang sukan di Kampung Pasir Mas bagi memberi kemudahan kepada golongan muda untuk bersukan seperti bermain bola keranjang dan bola jaring.

"Di sini (Rantau) pun tak ada kawasan untuk joging dan berekreasi untuk penduduk," katanya selepas program tinjauan mesra di Pekan Rantau.

PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Artikel Berkaitan:

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. -Bernama