Dua ditahan jual nombor ekor

No Image Caption
A
A
A

LANGKAWI - Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian ekor haram di sebuah kedai makan di Kampung Padang Lalang, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan tersebut dibuat semasa Op Dadu kira-kira 6.30 petang oleh sepasukan tujuh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi bersama tiga anggota Balai Polis Ayer Hangat serta sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Langkawi selepas mendapat maklumat awam.

"Semasa operasi tersebut, dua lelaki berumur 25 dan 40 tahun itu ditahan di bahagian belakang kedai tersebut yang telah diubah seakan kaunter membeli nombor taruhan.

"Hasil serbuan, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM310, lapan keping kertas putih bercetak angka disyaki nombor loteri awam haram, dua buah telefon bimbit dan dua unit mesin pencetak," katanya di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Semasa pemeriksaan dibuat, seramai 12 lelaki beragama Islam disyaki pembeli nombor ekor haram turut dibawa balik dan diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: