Persetujuan bersama AirAsia tidak libatkan hutang AirAsia X

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjelaskan, perjanjian yang dibuat bersama AirAsia Berhad dan Air Asia X Berhad baru-baru ini hanya melibatkan pemberhentian prosiding undang-undang.

Syarikat pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, persetujuan itu bagaimanapun tidak melibatkan hutang kira-kira RM78 juta yang perlu dibayar dan terhutang daripada AirAsia X Berhad.

“Malaysia Airports ingin memberikan sedikit penjelasan mengenai pengumuman yang kami buat pada 10 Ogos lalu berhubung pemberhentian prosiding undang-undang dengan AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad.

“Perlu diingatkan bahawa kecuali persetujuan bersama untuk menghentikan prosiding undang-undang, tidak ada perjanjian penyelesaian lain yang dibuat oleh pihak yang terlibat.

“Pihak kami percaya, bahawa sebagai entiti peneraju dalam sektor penerbangan, kita boleh mencari resolusi yang baik berdasarkan muhibah dan kemesraan tanpa perlu menggunakan prosiding undang-undang, yang sepatutnya hanya digunakan dalam keadaan yang melampau,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airports menjelaskan, Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) tertunggak yang perlu dibayar dan terhutang daripada AirAsia Berhad dan Air Asia X Berhad menurut penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 18 Julai 2019, yang kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 3 Mac 2022, dengan jumlah tertunggak penuh yang dituntut kira-kira RM41.5 juta telah pun dibayar oleh AirAsia Berhad dan Air Asia X Berhad kepada Malaysia Airports.

PSC tertunggak selanjutnya yang telah terakru sejak itu, tidak diketepikan dan masih perlu dibayar dan terhutang berdasarkan prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Perjanjian baru-baru ini dengan AirAsia Berhad dan Air Asia X Berhad untuk menghentikan prosiding undang-undang tidak berkaitan dengan hutang kira-kira RM78 juta yang perlu dibayar dan terhutang daripada AirAsia X Berhad.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah ini telah pun dikompromi menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 16 Disember 2021 yang meluluskan skim pengaturan AirAsia X Berhad untuk menyusun semula hutangnya.

“Selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi ini, Malaysia Airports kini dalam proses mendapatkan semula hutang tertunggak daripada AirAsia X Berhad sebagai pemiutang terjamin dalam prosiding skim,” katanya.

Malaysia Airports menegaskan, pihaknya komited ke arah bekerjasama untuk faedah dan kejayaan bersama semua pihak berkepentingan penerbangan iaitu syarikat penerbangan, lapangan terbang, penumpang dan industri.

Tumpuan mereka kini adalah kepada memulihkan dan merangsang kebangkitan perjalanan udara dan mendorong pertumbuhan dalam ekosistem penerbangan untuk kedua-dua industri dan negara.