Anjing laut, Freya di Norway dibunuh atas faktor keselamatan

Freya yang dinamakan sempena nama dewi kecantikan dan cinta masyarakat Norse, sering dilihat di Oslo Fjord. - Foto AP
Freya yang dinamakan sempena nama dewi kecantikan dan cinta masyarakat Norse, sering dilihat di Oslo Fjord. - Foto AP
A
A
A

ANKARA - Seekor anjing laut (walrus) yang dinamakan Freya, yang menjadi tarikan popular di kalangan pengunjung ke pantai Norway, dibunuh oleh pihak berkuasa pada Ahad atas faktor keselamatan.

"Keputusan untuk membunuh haiwan itu dibuat berdasarkan penilaian keseluruhan akan ancaman berterusan yang dibawanya terhadap keselamatan manusia,” lapor Agensi Anadolu memetik Ketua Pengarah Perikanan Frank Bakke-Jensen dalam satu kenyataan.

"Kami telah mempertimbangkan semua penyelesaian yang mungkin dengan teliti. Kami merumuskan bahawa kami tidak dapat menjamin kebajikan haiwan itu melalui apa-apa cara yang ada,” tambahnya.

Menyedari akan tindak balas yang mungkin timbul disebabkan keputusan itu, Bakke-Jensen berkata "nyawa dan keselamatan manusia mesti diutamakan."

Freya, yang dinamakan sempena nama dewi kecantikan dan cinta masyarakat Norse, sering dilihat di Oslo Fjord, dan pihak berkuasa telah beberapa kali memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhi anjing laut itu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Direktorat Perikanan sebelum ini, orang ramai tidak mematuhi amaran itu.

Freya mula dikenali selepas menaiki bot untuk berjemur dan kadangkala menenggelamkannya kerana berat badannya yang mencecah 600 kilogram. Dalam satu kejadian, polis terpaksa mengepung kawasan mandian selepas anjing laut itu mengejar seorang wanita ke dalam air. - Bernama