Penganjur didakwa punca proses undi tapak bazar kecoh

Gulam Muszaffar
Gulam Muszaffar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pengundian tapak Bazar Ramadan Jalan Raja di Stadium Titiwangsa yang kecoh sebelum ini didakwa berpunca daripada kelemahan pihak penganjur.

Aktivis masyarakat, Gulam Muszaffar berkata, menerusi proses pengundian tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didapati tidak menyediakan pelan lokasi tapak terlibat seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya tampil ke pentas sewaktu proses pengundian tapak berkenaan selepas ramai di antara peniaga terlibat merungut serta tidak berpuas hati dengan langkah DBKL tersebut.

"Saya bukan mencari publisiti murahan atau keuntungan. Saya bertindak dan bersuara atas paksi keadilan demi peniaga-peniaga ini. Mereka perlukan pembelaan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sesi pengundian tapak Bazar Ramadan Jalan Raja (menggantikan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India) kecoh serta tergendala kira-kira 1 jam 30 minit berikutan wujud bantahan terhadap pemindahan lokasi tapak bazar berkenaan.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, kehadiran pihak yang tidak mempunyai kaitan dikenal pasti menjadi punca kekecohan sewaktu proses pengundian tapak terbabit.

Beliau berkata, tiada bantahan diterima DBKL daripada peniaga yang layak mengundi untuk tapak bazar berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Gulam berkata, peniaga tidak berani untuk bersuara berikutan kebanyakan daripada mereka telah membuat persiapan untuk berniaga di lokasi berkenaan selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Penjaja terlibat tiada pilihan dan perlu akur dalam keadaan terpaksa demi mencari rezeki.

"Mereka inginkan tempat untuk berniaga kerana ada yang sudah membeli dan menempah barangan perniagaan," katanya.