Kemboja tangkap lebih 9,100 suspek dadah dalam tujuh bulan

Pihak berkuasa Kemboja menahan 9,151 orang suspek berkaitan dadah dalam tempoh Januari-Julai tahun ini. - Gambar hiasan
Pihak berkuasa Kemboja menahan 9,151 orang suspek berkaitan dadah dalam tempoh Januari-Julai tahun ini. - Gambar hiasan
A
A
A
PHNOM PENH - Kemboja menyaksikan peningkatan ketara dalam penangkapan dan rampasan dadah sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kata Jabatan Polis Antidadah (ADP), lapor Agensi Berita Vietnam.

Pihak berkuasa Kemboja menahan 9,151 orang suspek berkaitan dadah dalam tempoh Januari-Julai tahun ini, meningkat 16 peratus berbanding 7,876 dalam tempoh yang sama tahun lepas, katanya sambil menambah kira-kira 3.27 tan metrik dadah terlarang telah dirampas, meningkat hampir 240 peratus daripada 963 kg sebelumnya.

Antara jenis dadah yang dirampas termasuk heroin, ekstasi, kokain, kristal methamphetamine, pil methamphetamine, cathinone dan ketamin.

Selain itu, kira-kira 201 tan metrik bahan dadah, 17 pucuk pistol, 31 raifal dan banyak kenderaan serta peralatan yang dirampas daripada suspek.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menggesa usaha bersepadu untuk memerangi penyalahgunaan dadah dengan mengatakan bahawa memerangi dadah terlarang adalah keutamaan.

Negara Asia Tenggara itu tidak mempunyai hukuman mati bagi pengedar dadah. Di bawah undang-undangnya, sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih 80 gram dadah terlarang boleh dikenakan penjara seumur hidup. - Bernama