Penantian lebih 10 tahun berakhir

Dr Mohd Azraai (tengah) memotong riben sebagai simbolik perasmian pembukaan laluan utama UiTM Cawangan Selangor.
Dr Mohd Azraai (tengah) memotong riben sebagai simbolik perasmian pembukaan laluan utama UiTM Cawangan Selangor.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Penantian lebih 10 tahun untuk menikmati kemudahan laluan utama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam akhirnya dapat direalisasikan dengan pembukaannya, hari ini.

Naib Canselor UiTM, Profesor Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, pembinaan jalan masuk utama UiTM Kampus Puncak Alam ini adalah sebahagian daripada skop Projek Private Funding Initiative (PFI) melibatkan Kompleks Alam Bina dan Seni Reka.

"Bangunan Kompleks Alam Bina dan Seni Reka siap sepenuhnya dan diserahkan kepada UiTM pada 10 Disember 2015 lalu, tetapi pembinaan jalan masuk tidak dapat disiapkan mengikut jadual atas beberapa sebab dan isu teknikal.

"Alhamdulillah pada 19 Februari lalu surat kelulusan untuk pembukaan jalan dikeluarkan JKR Kuala Selangor sekali gus menamatkan penantian warga UiTM dan komuniti setempat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pintu Masuk Utama UiTM Cawangan Selangor, hari ini bersama Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Datuk Dr Abu Bakar Abdul Majeed.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat dan Jurutera Daerah JKR Kuala Selangor, Ir Muhammad Yusri Hamid.

Dr Mohd Azraai berkata, pembukaan pintu masuk utama UiTM Kampus Puncak Alam ini amat dinantikan warga kampus kerana dapat menyediakan akses dari Persiaran Mokhtar Dahari dan mengurangkan aliran trafik waktu puncak.

"Selain itu, dapat memendekkan jarak perjalanan warga Kompleks Alam Bina dan Seni Reka sehingga sembilan kilometer jika menggunakan akses terus daripada pintu masuk Utama.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, laluan ini akan memudahkan urusan dan meringkaskan perjalanan dalam usaha kita melunaskan amanah dan tanggungjawab seharian," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan UiTM itu katanya, progres dibangunkan dengan teliti dan terancang mengikut pelan pembangunan berdasarkan Rancangan Malaysia yang diperbaharui setiap lima tahun sekali.

"Sehubungan itu, dengan peningkatan pelajar yang ketara dari semasa ke semasa, perancangan terhadap pembangunan sedia ada ini perlu dirancang dengan teliti bagi mewujudkan suasana kampus yang mampan.

"UiTM Kampus Puncak Alam mempunyai pelan induk kampus yang terancang yang diluluskan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor pada 2002 lalu.

"Perancangan kampus juga mengambil kira pembangunan yang lebih ekonomik dengan mengekalkan ciri estetika semula jadi serta kehidupan lebih harmoni, seterusnya menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat," katanya.