Jangan pernah rasa kecewa

Semangat menimba dan menjiwai ilmu seharusnya dapat diterjemahkan dalam sebuah kehidupan.
Semangat menimba dan menjiwai ilmu seharusnya dapat diterjemahkan dalam sebuah kehidupan.
A
A
A

PEPATAH Arab mengatakan, "Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad”.

Tentu sekali calon-calon peperiksaan sama ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah pun mengetahui keputusan masing-masing. Apa pun keputusannya, perlu didakap dengan penuh kesyukuran dan berlapang dada.

Tangisan suka-duka adalah lumrah manusia. Sebagai ibu dan bapa kepada pelajar-pelajar yang terlibat, seharusnya berasa bangga dengan pencapaian anak-anak mereka. Redalah bahawa mereka telah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan yang terbaik.

Berterima kasihlah kepada para guru yang telah berkorban masa dan tenaga membimbing anak-anak kita untuk menjadi insan yang cemerlang.

Perlu diingat, peperiksaan di peringkat menengah ini bukanlah langkah terakhir sebuah perjalanan. Malah jadikan langkah ini yang pertama untuk memulakan sebuah perjalanan kehidupan yang masih jauh.

Mereka yang pandai tidak semestinya bijak. Begitu juga mereka yang mendapat keputusan cemerlang, tidak semestinya akan lebih berjaya di kemudian hari.

Segalanya bergantung kepada kebijaksanaan seseorang itu memilih jalan kehidupan mereka. Dalam erti kata lain bijak memilih bidang-bidang yang bersesuaian dengan kelulusan dan minat mereka.

Tentunya kedapatan pelajar-pelajar yang kurang memahami cara mengisi borang permohonan kemasukan ke universiti, atau masih samar-samar dalam memilih bidang yang bersesuaian. Janganlah segan silu datang berjumpa guru-guru terutama guru bimbingan dan kaunseling yang sentiasa bersedia membantu.

Artikel Berkaitan:

Jangan salah membuat pilihan, kerana inilah penentu masa depan. Setelah selesai memilih bidang dan mengisi borang online, jangan lupa mencari saluran bantuan kewangan untuk menampung segala perbelanjaan pembelajaran para pelajar.

Berbagai dana, yayasan, biasiswa dan sebagainya telah di sediakan oleh kerajaan bagi mereka yang layak, termasuklah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Tiga puluh tahun dahulu, sebelum adanya PTPTN, ibu bapa kami terpaksa bergolok bergadai untuk mendapatkan duit bagi menampung pembelajaran kami di universiti.

Kehilangan sekeping tanah juga sudah menjadi lumrah pada ketika dahulu demi menuntut ilmu. Malahan dengan jumlah universiti tidak sampai 10 buah, kami terpaksa bersaing untuk menjadi warga kampus.

Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), maktab perguruan dan Universiti Teknologi Mara merupakan antara institusi pendidikan awam yang menjadi rebutan para lepasan SPM dan STPM.

Hari ini peluang untuk pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran begitu terbuka luas. Lebih 20 buah institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta menawarkan berbagai bidang pengajian. Dan di pihak kerajaan pula telah menyediakan PTPTN semata-mata untuk melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan.

Sudah tentulah sebagai pewaris bangsa yang membina negara seharusnya terdiri daripada mereka yang bijak, berilmu dan berkarisma. Suatu karakter yang dianggap sempurna adalah sentiasa memikirkan soal-soal kehidupan, kemajuan, keharmonian, kelestarian dan segala macam perkara yang merangkumi aspek pembangunan jasmani dan rohani.

Tiada istilah gagal dalam setiap keputusan yang diterima. Peluang memperlengkapkan diri untuk bekalan penghidupan masih terbuka.

Dalam dunia industri hari ini, amat memerlukan kemahiran sama ada dalam bidang-bidang pembuatan mahupun pemprosesan. Termasuklah pertanian dan penternakan.

Apabila sudah bergelar mahasiswa, sedarlah bahawa tanggungjawab dan harapan yang disandarkan merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Bersedialah dengan segala cabaran dan ranjau sebuah kehidupan di dalam masyarakat kampus. Jangan hanyut dengan segala kejutan budaya. Sebaliknya tunjukkan keterampilan sahsiah sesebuah bangsa seiring tuntutan agama.

Konsep penguasaan ilmu wajar menjadi prinsip utama dalam kehidupan mahasiswa. Namun matlamatnya lebih daripada memperoleh segulung ijazah, tetapi lebih daripada itu.

Semangat menimba dan menjiwai ilmu seharusnya dapat diterjemahkan dalam sebuah kehidupan.

ALLAH SWT berfirman, bahawa manusia dan jin tidak akan dapat menguasai dunia dan seisinya melainkan dengan kekuasaan ilmu. (Surah Ar-Rahman, 33). Dunia telah menyaksikan dan sejarah juga membuktikan bahawa sejak zaman awal manusia, ilmu memainkan peranan penting dalam menentukan kegemilangan dan kejatuhan sesebuah tamadun.

Kepada bakal-bakal mahasiswa, jalanilah kehidupan tanpa pernah rasa kecewa kerana kejayaan sedang menanti di sana.

“Barang siapa yang keluar untuk mencari ilmu, maka ia berada di jalan ALLAH sampai ia kembali.” (HR.Tirmizi)

* Penulis mantan guru bimbingan dan kaunseling, moderator dan aktivis masyarakat