Paras air sungai Rhine di Jerman makin surut

Beberapa kawasan di sepanjang sungai itu hanya catat bacaan 38 sentimeter dari dasar sungai. - Foto AFP
Beberapa kawasan di sepanjang sungai itu hanya catat bacaan 38 sentimeter dari dasar sungai. - Foto AFP
A
A
A

BERLIN - Musim panas yang berterusan dan hujan berkurangan telah menyebabkan paras air di sungai Rhine di Jerman semakin surut menyaksikan beberapa kawasan di sepanjang sungai itu hanya mencatat bacaan 38 sentimeter dari dasar sungai, menurut Institut Hidrologi.

Paras air dijangka terus menyusut sehingga awal minggu depan dan boleh menjejaskan perkhidmatan pengangkutan untuk industri dan sektor swasta di sungai berkenaan, lapor Agensi Anadolu.

Pegawai Institut Hidrologi, Bastian Klein berkata paras air boleh menyusut hingga 30 sentimeter pada minggu depan dan mengganggu perkhidmatan tongkang.

Sungai Rhine memainkan peranan penting untuk sektor perindustrian.

Perkhidmatan tongkang digunakan bagi membawa arang batu dan diesel dari pelabuhan ke industri dan kilang penapisan, tetapi disebabkan paras air yang rendah, tongkang hanya boleh memuatkan satu perempat hingga setengah daripada kapasitinya.

Ini bermakna tiga hingga empat tongkang diperlukan untuk memindahkan barangan yang biasanya boleh diangkut oleh sebuah tongkang.

Menurut laporan media, kos penghantaran telah meningkat hampir lima kali ganda. - Bernama