Restoran dikompaun RM1,500

Salah sebuah kedai makan yang dikunjungi kakitangan Perkeso (kiri) dan KWSP (kanan).
Salah sebuah kedai makan yang dikunjungi kakitangan Perkeso (kiri) dan KWSP (kanan).
A
A
A

TANGKAK - Padah sambil lewa dengan tidak mendaftar perusahaan, pemilik kedai makan di Bukit Gambir di sini dikompaun RM1,500 oleh Perkeso Muar.

Pengurus Perkeso Cawangan Muar, Redhuan Muda berkata, restoran yang dikesan beroperasi sejak hampir dua tahun itu didenda mengikut Seksyen 4 atas kesalahan Gagal Daftar Perusahaan.

Menurutnya, berdasarkan semakan lanjut, lokasi berkenaan telah dikunjungi wakil Perkeso bulan lalu bagi Ops Pemutihan.

“Hasil rekod mendapati lokasi di sekitar premis ini pernah dikunjungi Perkeso Muar melalui Ops Pemutihan yang mana kita membuat hebahan dari premis ke premis bagi memberikan peringatan untuk mereka mendaftar perusahaan dan mencarum pekerja sebelum April ini.

“Dan sekiranya majikan mendakwa restoran tidak beroperasi ketika itu, mereka pasti dimaklumkan melalui risalah yang diselit di pintu kedai dan peti surat di premis di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru katanya, mana-mana majikan diminta untuk tidak boleh mengambil mudah dengan mengabaikan penerangan wakil Perkeso sewaktu Ops Pemutihan bulan lalu.

“Selepas ini, jika premis mereka terpilih untuk dikunjungi, kita tidak akan kompromi dan terus mengeluarkan kompaun bersesuaian. Bagi kesalahan Gagal Daftar Perusahaan, nilai denda yang dikenakan bergantung kepada tempoh sesebuah premis beroperasi.

“Jika lagi lama, maka lebih besar jumlah denda. Bagi kami, tempoh ihsan telah pun tamat dan tiada lagi alasan masih tak tahu mengenai undang-undang ini atau sebagainya,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, dalam operasi terbabit, Perkeso Muar mengeluarkan 15 kompaun hasil lawatan sebanyak 145 premis yang membabitkan lebih 10 lokasi di sekitar Muar dan Tangkak.

“Bagi Seksyen 4 iaitu Gagal Daftar Perusahaan, 12 kompaun dikeluarkan manakala tiga kompaun untuk Seksyen 5 akibat Gagal Daftar Pekerja.

“Kesemua kompaun bernilai RM8,500. Ops Kesan yang turut melibatkan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus diperhebatkan sehingga hujung tahun ini dengan mengunjungi semua perusahaan termasuk kilang-kilang besar,” katanya.

Redhuan berkata, bagi tempoh beberapa bulan pertama ini, pihaknya akan memberikan tumpuan operasi di gerai makan dan pusat cuci kereta.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Perkeso Muar berjaya menerima 143 pendaftaran baharu bulan lalu hasil Ops Pemutihan yang dilaksanakan dalam lima siri di Muar dan Tangkak.