'Anwar mahu tunjuk hebat di PRK Rantau'

Khairy (dua dari kiri) pada program ceramah di Bandar Ekar di sini, malam tadi.
Khairy (dua dari kiri) pada program ceramah di Bandar Ekar di sini, malam tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa PRK DUN Rantau menjadi platform kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kehebatan beliau dan partinya.

Katanya, lebih-lebih lagi selepas kekalahan calon daripada DAP dan Bersatu di dua PRK sebelum ini.

"DAP kalah di Cameron Highlands, Bersatu kalah di Semenyih. Jadi dia nak buktikan PKR boleh menang dan paling hebat.

"Dia nampak DAP dan Bersatu dah tak guna, inilah peluang untuk dia tunjuk kepada (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) bahawa dia boleh menang," katanya kepada media selepas program ceramah di Bandar Ekar di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kehadiran Anwar berkempen bagi membantu calon PH, Dr S Streram di PRK DUN Rantau.

Menurut Khairy, BN sudah pun menjangkakan kemunculan Anwar dalam kempen-kempen calon PH.

"Siapa pun datang kita kena menjalankan kempen kita secara bersungguh-sungguh.

"Sudah menjadi perkara yang dijangkakan Anwar akan datang kerana calonnya adalah dari PKR," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, ketika berucap dalam ceramahnya, Khairy menyindir kehadiran Anwar dalam sebuah program ceramah yang kurang mendapat sambutan.

"Saya tengok perjalanan PRK sudah beberapa hari. Makin hari makin ramai pemimpin besar PH datang beri ceramah.

"Anwar datang beri ceramah di tiga tempat di Rantau, sampai begitu tumpuan diberikan kepada Rantau. Tapi saya dikhabarkan kehadiran di ceramahnya tak berapa ramai," katanya.