Pemulihan banduan langkah kurangkan kesesakan dalam penjara

Liew Vui Keong. Foto sumber internet
Liew Vui Keong. Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil kira pemulihan banduan khususnya pesalah dadah dalam usaha mengurangkan kesesakan dalam penjara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata cadangan itu merupakan antara langkah yang boleh diambil bagi melaksanakan pembaharuan sistem penjara dan lokap dalam negara selain meminimumkan kos pengendalian institusi penjara.

“Daripada sejumlah 66,222 banduan di seluruh negara ini, 56 peratus daripada mereka terlibat dadah. Setelah mereka kembali daripada menjalani hukuman, 99 peratus akan mengulangi ketagihan dadah ekoran stigma masyarakat yang tidak menerima mereka.

“Ini yang kita perlu atasi dengan mengubati mereka dan bukan memenjarakan mereka. Mungkin perlu ada satu pusat pemulihan utama yang memberikan kemudahan perubatan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar tentang perlunya pengurusan kebersihan dan kesihatan di penjara seluruh negara diseragamkan demi kebajikan banduan.

Nurul Izzah hari ini berkata, penyeragaman itu perlu bagi memastikan banduan mendapat akses kesihatan dan persekitaran yang bersih walaupun mereka sedang menjalani hukuman.

Beliau turut menyentuh usul persendirian mengenai pembaharuan sistem penjara dan lokap yang akan dibincangkan di peringkat dalaman sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dibentangkan di Parlimen.

Menurut Izzah, perbincangan itu akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Penjara dan dijangka diadakan Isnin depan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata usaha pemulihan sepenuhnya banduan dapat menjimatkan kos pengendalian tadbir urus penjara dan lokap selain mengelakkan pesalah dadah kembali terlibat dengan dadah.

“Kita dapat jimatkan kos yang ditanggung kerajaan untuk membiayai banduan dan dengan penjimatan, kita mampu membina pusat-pusat pemulihan tertentu selain memberikan bantuan perubatan kepada banduan sedia ada yang menjalani pemulihan daripada ketagihan dadah,” katanya.

Vui Keong menyerahkan kepada KDN yang mempunyai bidang kuasa bagi menguruskan perkara itu selain menyokong penuh pembaharuan sistem penjara dan lokap. - Bernama