Samun bersenjata: Polis tahan dua sahabat

No Image Caption
A
A
A

PARIT - Polis menahan dua sahabat yang disyaki menyamun dengan menggunakan senjata di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Nibong, Kampung Gajah di sini petang tadi, tidak sampai 12 jam selepas menerima laporan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua suspek lelaki berumur 31 tahun dan 27 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 2.25 petang di sebuah rumah di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah.

Beliau berkata, kejadian samun berlaku pada kira-kira pukul 4.15 pagi di rumah seorang tukang masak berumur 47 tahun, apabila seorang lelaki tidak berbaju masuk ke rumah itu melalui tingkap dapur, lalu mengacukan pisau ke arah mangsa dan meminta wang serta telefon bimbit.

“Mangsa yang takut menyerahkan wang RM130 dan sebuah telefon jenis Lenovo kepada suspek yang kemudian melarikan diri ke dalam semak bersama seorang rakan di luar rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Katanya siasatan mendapati suspek berumur 31 tahun mengaku duit hasil samun digunakan untuk membeli dadah jenis Syabu, manakala rakannya mengaku berperanan menghantar suspek ke rumah berkenaan.

Menurut Mohamad Zainal, ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau bersabit dadah itu, positif dadah jenis methaphatemine dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan bersenjata dan cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.- Bernama

Artikel Berkaitan: