Kenakan caj jika warga asing naik bas percuma

DBKL dicadang mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL City Bus .Gambar hiasan
DBKL dicadang mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL City Bus .Gambar hiasan
A
A
A

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika di Dewan Negara mendedahkan sebanyak 45.2 peratus pengguna perkhidmatan bas percuma sekitar ibu kota yang dikendalikan oleh GoKL City Bus adalah warga asing.

Sehubungan itu, Jalaluddin mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan bayaran terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma tersebut.

Menurut kiraan kasar, sekiranya RM1 dikutip daripada warga asing tersebut, sebanyak RM9.2 juta diperoleh setiap bulan.

Masalah warga asing menguasai perkhidmatan awam bukan perkara baharu. Sejak dahulu terdengar rungutan rakyat tempatan yang tidak selesa dengan kebanjiran warga asing.

Bukan sahaja di ibu kota, malah di mana-mana negeri sekali pun kemudahan yang disediakan untuk manfaat rakyat tempatan akhirnya dinikmati oleh mereka.

Jangan pula menuduh rakyat Malaysia tidak suka menaiki pengangkutan awam berbanding warga asing kerana melihat kepada kemudahan yang masih belum efisien, memandu kereta meredah kesesakan jalan raya lebih berbaloi pada masa kini.

Oleh itu, cadangan Timbalan Menteri supaya mengenakan caj kepada warga asing adalah cadangan terbaik buat masa ini.

Sebelum ini pun, kerajaan Selangor sudah melakukannya apabila pada tahun lalu mula mengenakan caj 90 sen kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor.

Ia juga menunjukkan bahawa perkhidmatan tersebut ‘eksklusif’ untuk rakyat tempatan. Jika orang luar mahu menggunakannya, mereka perlu membayarnya.

Ternyata cara itu berkesan apabila bayaran yang diperoleh daripada warga asing tersebut dapat menampung sedikit kos penyelenggaraan bas.

Cuma kaedahnya nanti mungkin perlu diperkemas untuk memastikan tidak ada warga asing ‘terlepas’ masuk ke dalam bas tanpa membayarnya.

Jika di Selangor, penumpang wajib menggunakan fungsi Scan To Ride menerusi aplikasi Citizen E-Payment (CEPat) dengan mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas. Mungkin cara itu boleh digunakan juga untuk GoKL City Bus.

Apa pun, itulah situasi yang perlu dihadapi rakyat Malaysia apabila kita membuka pintu kepada warga asing untuk bekerja di negara ini.

Tapi kalau tiada warga asing datang ke Malaysia, adakah rakyat tempatan boleh mengisi kekosongan kerja-kerja kasar yang ditinggalkan mereka?