Azmin pertahan jawatan

Kalahkan Rafizi berdasarkan keputusan tak rasmi


AZMIN
AZMIN
A
A
A
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan jawatan tersebut selepas menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli dalam pemilihan parti dengan majoriti 3,956 undi.

Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Muhammad Hilman Idham berkata, jumlah tersebut berdasarkan kepada keputusan akhir tidak rasmi selepas proses pengundian di 16 cabang seperti Pensiangan, Tawau, Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Jasin dan Jelebu berakhir.

"Alhamdulillah, Datuk Seri (Mohamed Azmin) menang dengan majoriti kira-kira 3,956 undi dan pemilihan di semua cabang telah selesai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menerusi hantaran di Twitternya semalam mengucapkan terima kasih kepada semua anggota PKR.

"Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota PKR yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen," katanya.

Sementara itu, pada pemilihan parti PKR di Sarawak, Mohamed Azmin menang di 23 daripada 28 cabang di Sarawak yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam.

Keputusan pemilihan di satu cabang iaitu Julau bagaimanapun digantung disebabkan kemungkinan berlakunya serangan siber dan sistem pemilihan yang diceroboh.

Mohamed Azmin menang di Cabang Batang Lupar, Bandar Kuching, Lanang, Batang Sadong, Saratok, Lawas, Baram, Kanowit, Kota Samarahan, Bintulu, Selangau, Mukah, Mas Gading, Hulu Rajang, Lubok Antu, Betong, Stampin, Sri Aman, Puncak Borneo, Sarikei, Petra Jaya, Santubong dan Sibu.

Rafizi pula hanya menang di Serian, Sibuti, Miri, Limbang dan Kapit.
Artikel Berkaitan:


Dalam perkembangan sama, ramai berpandangan kemenangan Mohamed Azmin akan menguatkan lagi PKR apabila beliau akan bergandingan dengan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada perkembangan sama, calon Wanita PKR pula dimenangi Haniza Mohamed Talha dengan majoriti 3,607 undi.

Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dimenangi Dr Afif Bahardin dengan majoriti 314 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi.