SRC International ada modal terbitan RM1j: Pendaftar SSM

Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media selepas menghadiri perbicaraan kes yang dihadapi anak guamnya itu membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Bernama
Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media selepas menghadiri perbicaraan kes yang dihadapi anak guamnya itu membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa syarikat SRC International Sdn Bhd yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 7 Jan 2011, mempunyai modal terbitan sebanyak RM1 juta.

Penolong Pendaftar SSM Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Saksi pertama pendakwaan itu berkata syarikat persendirian yang mempunyai nombor pendaftaran syarikat 928868-V turut melantik beberapa individu termasuk Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yassin sebagai pengarah SRC International.

"Bagaimanapun, Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar dilantik sebagai pengarah pada 22 Ogos 2011," katanya semasa membacakan penyataan saksinya.

Muhamad Akmaludin, yang bertugas di Unit Pengurusan Akaun Pengguna Bahagian Pemasaran dan Pembangunan SSM turut memaklumkan pada 7 Januari 2011, SRC mempunyai dua unit saham, masing-masing dipegang oleh Nik Faisal dan Vincent Beng Huat Koh yang mana setiap unit saham itu bernilai 100 sen.

"Semakan terhadap pemegang syer juga mendapati semua 1 juta syer dipegang oleh Menteri Kewangan (diperbadankan). Malah, maklumat gadaian juga menunjukkan terdapat tiga gadaian dengan jumlah cagaran tidak dinyatakan," katanya.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, saksi itu turut mengesahkan beberapa dokumen asal berhubung pendaftaran syarikat SRC dengan SSM.

Beliau juga mengesahkan dokumen pendaftaran syarikat lain yang akan dirujuk pada perbicaraan kes itu antaranya syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu semasa membacakan penyataan saksinya, Muhamad Akmaludin berkata modal terbitan SRC adalah RM1 bilion, bagaimanapun beliau telah membetulkan jumlah itu kepada RM1 juta.

Ditanya Manoj, bagaimana beliau memperoleh jumlah RM1 juta, saksi itu berkata ianya berdasarkan salah satu borang syarikat yang menyatakan nilai sebenar modal itu adalah RM1 juta.

Manoj: Adakah jumlah RM1 bilion itu betul?

Muhamad Akmaludin: Tidak

Manoj: Apa jumlah sebenar?

Muhamad Akmaludin: RM1 juta

Semasa pemeriksaan balas peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib berhubung bidang tugasnya, saksi itu memaklumkan tugasnya adalah membekalkan dokumen berkenaan syarikat kepada agensi kerajaan dan orang awam.

Harvinderjit: Berapa lama kamu bekerja di SSM?

Muhamad Akmaluddin: Saya mula berkerja di SSM pada 2007.

Harvinderjit: Adakah kamu tahu tentang pemfailan atau penyerahan dokumen kepada SSM?

Muhamad Akmaludin: Sekadar tahu.

Harvinderjit juga turut meminta saksi berkenaan supaya membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi mendapatkan buxtir-butir semua pengarah yang pernah memegang jawatan sebagai pengarah di syarikat itu dan Muhamad Akmalaudin menjawab,"boleh".

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 15 April hingga 10 Mei.

Terdahulu sebelum mahkamah menetapkan tarikhnya, Thomas mencadangkan supaya perbicaraan disambung pada 15 April atau pada mana-mana tarikh bebas di mana mahkamah memiliki ruang masa bagi tujuan itu.

Muhammad Shafee kemudiannya membacakan jadualnya yang ketat pada bulan April dan memaklumkan bahawa beliau ada beberapa kes di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, yang tidak boleh ditangguhkan.

“Diari saya ditulis dengan dakwat hitam dan merah, tapi banyak dalam dakwat merah yang bermakna kes-kes ini tidak boleh ditangguh,” katanya, yang mencetuskan gelak ketawa orang ramai daloam mahkamah.

Beliau berkata Peguam Negara tidak seharusnya meminta mahkamah menetapkan satu tarikh yang dia sendiri (Thomas) boleh hadiri, tetapi ia tidak dapat dihadiri oleh pasukan pembelaan.

“Peguam Megara seharusnya lebih tahu, kerana sebelum dia menjadi Peguam Negara, dia juga adalah peguam biasa,” kata Muhammad Shafee.

Thomas kemudiannya bangun dan berkata “Ya, saya adalah pengamal undang-undang yang tidak pernah meminta sebarang penangguhan”.

Hakim Mohd Nazlan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak berkata selepas membuat pertimbangan bahawa kes ini berkepentingan awam, dan bagi memastikan kecekapan prosiding, mahkamah menetapkan 15 April sehingga 10 Mei untuk meneruskan perbicaraan. - Bernama