Izad Shahadi dilantik Ketua Pegawai Eksekutif UJSB

Izad Shahadi Mohd Sallehuddin
Izad Shahadi Mohd Sallehuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) telah melantik Izad Shahadi Mohd Sallehuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuatkuasa 2 April 2019.

Menurut Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, UJSB merupakan sebuah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) yang dimiliki penuh kerajaan bagi membantu proses pemulihan aset-aset yang telah diambilalih daripada Lembaga Tabung Haji (TH) pada akhir 2018.

“Pelantikan Izad Shahadi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif UJSB adalah langkah awal pembentukan pasukan pengurusan di UJSB bagi memastikan kelangsungan serta peningkatan nilai pulih aset-aset tersebut.

“Ini adalah penting bagi mengurangkan kos tanggungan Kerajaan dalam menebus kesemua Sukuk yang diterbitkan dalam membantu pemulihan kedudukan kewangan TH,” katanya menerusi satu kenyataan.

Izad Shahadi mempunyai kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Nottingham dan Sarjana Muda Ekonomi daripada London School of Economics.

Beliau juga berpengalaman luas dalam bidang pengurusan portfolio ekuiti dan kewangan korporat.

Dalam pada itu, pelantikan tersebut adalah selaras dengan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa kepada Ahli Parlimen Pendang pada 26 Mac 2019 yang mengatakan bahawa UJSB pada ketika itu masih tidak mempunyai pihak pengurusan mahupun ketua pengawai eksekutif.

“Prokhas Sdn Bhd (Prokhas) hanya diberi tanggungjawab sementara waktu bagi membantu memastikan pentadbiran dan operasi aset-aset tersebut berjalan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

“Dengan penubuhan pasukan pengurusan UJSB yang baharu, pentadbiran dan operasi aset-aset akan diambilalih sepenuhnya oleh UJSB dan tidak lagi akan melibatkan Prokhas,” jelasnya.