China keluarkan kertas putih mengenai Taiwan

No Image Caption
A
A
A

BEIJING - Pejabat Hal Ehwal Taiwan dan Pejabat Penerangan Dewan Negara China mengeluarkan kertas putih bertajuk "Soal Taiwan dan Penyatuan Semula China pada Era Baharu" pada Selasa.

Kertas putih itu sekali lagi menekankan bahawa Taiwan merupakan sebahagian daripada wilayah China, memperlihatkan keazaman serta komitmen kukuh Parti Komunis China (PKC) dan rakyat China untuk mewujudkan penyatuan semula negara.

Selain itu Kertas Putih berkenaan turut menyatakan Taiwan dimiliki China sejak zaman dahulu sambil disokong dari sudut sejarah dan undang-undang, turut menghuraikan pendirian dan dasar parti dan kerajaan China pada era baharu.

"Resolusi 2758 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan dokumen politik yang mengetengahkan prinsip satu China, yang tidak boleh dinafikan atau ditolak di sisi undang-undang,” menurut kertas putih itu.

Sementara itu, prinsip satu China sebagai konsensus umum masyarakat antarabangsa wajib dipatuhi sebagai tindakan mematuhi norma hubungan antarabangsa.

"Hanya satu China di dunia, manakala Taiwan ialah sebahagian China dan kebenaran ini tidak boleh dinafikan dari segi sejarah serta undang-undang.

"Taiwan bukanlah sebuah negara, ia berstatus sebahagian China dan hakikat ini tidak akan berubah,” memetik dokumen itu.

PKC komited untuk menyelesaian soal Taiwan dan mewujudkan penyatuan semula negara.

Di bawah pimpinan PKC, kemajuan besar telah tercapai dalam perkembangan hubungan antara Tanah Besar dan Taiwan dalam tempoh tujuh dekad lalu, khususnya sejak kerenggangan hubungan antara kedua-dua belah Selat Taiwan itu berakhir.

Menurut kertas putih itu China bersedia mencari sebarang peluang untuk menyatukan semula tanah air secara damai, namun tidak langsung akan memberi ruang kepada puak pemisah 'kemerdekaan Taiwan'.

"Menerusi pedoman 'satu negara, dua sistem', bangsa China boleh merealisasikan penyatuan semula negara secara damai, bersama-sama memperjuangkan kemajuan dan kebangkitan semula nusa dan bangsa, mencipta peluang kepada pembangunan sosioekonomi Taiwan dan membawa manfaat substantif kepada penduduk di Taiwan.

"Penyatuan semula China secara damai bukan sahaja kebaikan bagi bangsa dan rakyat China, malah juga baik bagi masyarakat antarabangsa dan rakyat dunia,” menurut kertas putih itu. - Bernama