Tiga pelajar maut, seorang guru cedera

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan sehingga menyebabkan tiga pelajar tersebut maut.
Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan sehingga menyebabkan tiga pelajar tersebut maut.
A
A
A

KOTA TINGGI - Tiga pelajar maut manakala seorang guru cedera selepas Proton Wira dinaiki terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di jalan Kota Tinggi-Bandar Penawar berhampiran simpang Lok Heng di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, ketiga-tiga pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lukman Hakim, Felda Lok Heng itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Noriman Bastaman, 17, Daing Muhammad Afeeq Mohd Afeeq-ur Rahman, 16, dan Muhammad Syafawi Zayadi, 17.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Abdul Rahim Abdul Rani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Selepas tiba di lokasi, kita mendapati kemalangan membabitkan dua buah kereta iaitu sebuah Perodua Myvi dan Proton Wira.

"Perodua Myvi dinaiki seorang wanita yang turut cedera parah apabila patah kaki manakala Proton Wira dinaiki seorang guru dan tiga pelajar tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, pihaknya dimaklumkan salah seorang pelajar tersepit di dalam kereta manakala dua pelajar tercampak keluar dari kereta.

Katanya, kesemua pelajar berkenaan kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Guru wanita yang mengalami kecederaan dirawat di Hospital Kota Tinggi manakala semua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.