Surinder telah peluk Islam dan disahkan keluarga: Mufti Pulau Pinang

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita Sikh, yang meninggal dunia selepas dipukul teman lelakinya Ahad lalu telah memeluk agama Islam dan dikebumikan mengikut cara Islam di Tanah Perkuburan Islam Jelutong kelmarin.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihaknya telah mengeluarkan surat rasmi sebagai pengesahan bahawa Surinder telah memeluk agama Islam.

"Saudaranya (abang mangsa), Imran Khan, datang ke Jabatan Mufti Pulau Pinang pagi kelmarin untuk memaklumkan kepada saya dan pegawai bahawa adiknya, Surinder telah masuk Islam. Imran Khan juga memberitahu bahawa Surinder telah mengucap dua kalimah syahadah di hadapannya dan ibunya.

"Berdasarkan kepada keterangan tersebut dan tanpa prejudis maka pihak saya menerimanya. Tiada apa-apa kepentingan yang ingin diperolehi, hanya semata-mata bertujuan memenuhi kehendak keluarga si mati yang mahu jenazah diurus secara Islam.

"Saya juga bersetuju mengeluarkan surat rasmi jabatan menyatakan bahawa mangsa telah memeluk agama Islam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Mengulas mengenai pertikaian oleh pihak tertentu tentang perkara tersebut, Wan Salim berkata, isu tersebut dilihat boleh diselesaikan dengan baik.

"Saya difahamkan ada pihak tertentu yang mempertikaikan surat yang saya keluarkan dan meragui Surinder telah memeluk agama Islam. Sebagai Mufti Kerajaan Pulau Pinang, saya berpandangan isu ini boleh diselesaikan dengan baik melalui rundingan antara beberapa pihak yang terbabit.

"Oleh itu, saya mencadangkan satu sesi perbincangan diadakan pada Jumaat ini (5 April) di Jabatan Mufti Pulau Pinang. Ia akan dihadiri beberapa pihak berkaitan termasuk keluarga mangsa, Pengarah JHEAINPP, seorang pegawai di Bahagian Pendaftaran Mualaf JHEAINPP, Persatuan Komuniti Sikh Pulau Pinang, saya sendiri dan Ketua Penolong Mufti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, beliau berharap perbincangan itu nanti akan menghasilkan keputusan yang boleh diterima oleh semua pihak selain isu tersebut dapat diselesaikan secara harmoni serta aman untuk kepentingan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Zulkifli Long turut mengesahkan bahawa K Surinder Kaur Bedi dikebumikan mengikut cara Muslim yang disaksikan oleh ahli keluarganya.

"Pengebumian mangsa dijalankan secara Islam dan disemadikan di perkuburan Islam mengikut kehendak keluarganya," katanya ketika dihubungi tadi.

Kontroversi mengenai agama mangsa yang berusia 37 tahun itu timbul setelah dia meninggal dunia akibat kecederaannya sekitar jam 5 pagi, Ahad lalu.

Susulan daripada itu, abang mangsa, Imran Khan Mohamad Qurban Ali telah membuat laporan polis pagi kelmarin untuk mengesahkan Surinder adalah Muslim dan telah mengucap dua kalimah syahadah di hadapannya serta ibunya sebelum ini.

Dalam laporannya, dia telah meminta agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) agar mayat Surinder dikebumikan mengikut agama Islam.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pukul kekasih hingga maut angkara cemburu

Gali kubur: Saya tidak benarkan, kata ibu mangsa