'Selesaikan isu air di kampung-kampung'

Ab Razak Ibrahim
Ab Razak Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim merayu agar kerajaan menyelesaikan masalah air di beberapa kampung di kawasan itu yang masih lagi tidak mempunyai saluran air paip bersih.

Menurutnya, walaupun peruntukan sudah diluluskan, tapi masalah itu masih belum dapat diselesaikan sehingga beliau buntu dengan rayuan penduduk.

“Di DUN saya masih lagi ada kampung-kampung yang tidak mempunyai saluran air paip yang bersih. Rakyat masih lagi menggunakan air sungai dan air alur sungai sebagai keperluan asas mereka.

“Bagaimanapun, tahniah kepada pihak SATU (Syarikat Air Terengganu) yang menghantar tangki untuk rakyat ambil air secara angkut.

"Kami memerlukan air seperti mana kampung-kampung lain, dengarlah keluhan rakyat di kampung terlibat,” katanya sewaktu sesi perbahasan pada Sidang DUN Ke-14 di sini, hari ini.

Jelas wakil rakyat Pas itu, rakyat sudah bosan dengan permintaan dan jawapan daripada pihak berkenaan kerana sehingga sekarang, ia masih tidak berubah.

“Ibarat buah atas pokok tapi tak luruh-luruh. Hogeh (goyang), kocok (kocak) tapi tangkai masih liat lagi. Kami masih menderita, itu ucapan penduduk kampung yang terlibat.

“Pejabat DUN menjadi lebu (kecoh) dengan kehadiran orang kampung yang menagih air bersih.

Artikel Berkaitan:

"Nama Air Putih tapi air tak ada. Kiranya kami hanya mampu guna perkataan ‘bersabarlah pokcik weh’, saya merayu pihak kerajaan sudilah percepatkan selesai masalah rakyat ini,” katanya.