Elon Musk jual lebih tujuh juta saham Tesla

Elon Musk - Foto AFP
Elon Musk - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Individu paling kaya di dunia, Elon Musk telah menjual lebih tujuh juta saham syarikat kenderaan elektrik Tesla yang dianggarkan bernilai hampir AS$7 bilion (RM31.20 bilion) antara 5 dan 9 Ogos lalu.

Ia berlaku ketika Musk menghadapi pertarungan undang-undang di mahkamah berhubung perjanjian pembelian rangkaian media sosial, Twitter sebanyak AS$44 bilion (RM196.11 bilion).

Bilionair itu menjual kira-kira 7.9 juta saham pembuat kereta elektrik itu antara 5 dan 9 Ogos, menurut dokumen yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Musk sebelum ini menarik diri daripada perjanjian untuk membeli Twitter dan seorang hakim telah mengarahkan perbicaraan berhubung perkara itu pada bulan Oktober depan.

Lelaki terkaya di dunia itu telah memfailkan saman dengan menuduh rangkaian sosial tersebut melakukan penipuan dan mendakwa platform berkenaan mengelirukannya tentang aspek utama perniagaan sebelum beliau bersetuju untuk membelinya melalui perjanjian bernilai AS$44 bilion.

Langkah terbaharu itu dibuat selepas Musk menjual saham Tesla bernilai kira-kira AS$8.5 bilion (RM37.88 bilion) pada April lalu.

Harga saham Tesla telah meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada AS$868.34 (RM3,870) satu unit saham menjelang tengah hari Rabu manakala Twitter melonjak 3.4 peratus kepada AS$44.28 (RM197.36).

Musk kini telah menjual kira-kira AS$32 bilion (RM142.62 bilion) saham Tesla sejak November lalu.

Menurut Indeks Billionaires Bloomberg, beliau merupakan individu paling kaya di dunia dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$250 bilion (RM1.1 trilion). - Agensi