Kertas putih Felda dibentang Rabu depan

Dr Mohd Radzi
Dr Mohd Radzi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas putih Felda akan dibentangkan Rabu depan, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Katanya penangguhan pembentangan kertas putih itu adalah atas nasihat Jabatan Peguam Negara berikutan sebab-sebab perundangan.

“Perkara ini telah di bawa ke jemaah menteri yang kemudiannya membuat keputusan supaya pembentangan ini ditangguhkan ke sesi ini,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2018 (2019) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata ahli-ahli yang berhormat akan terlibat dalam pembentangan kertas putih itu.

Di samping itu, isu elaun sara hidup dan inisiatif sedia ada yang akan dikekalkan, turut disentuh dalam kertas putih itu.

“Bagi elaun, antara isunya mengenai kelewatan dan jumlahnya. Mengenai kelewatan bayaran elaun, saya difahamkan ia dibayar pada masanya, namun untuk bulan ini, bayaran akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mendapatkan pandangan menyeluruh berhubung Felda.

Menjawab mengenai kerugian FGV, beliau berkata ia disebabkan oleh harga komoditi yang rendah dan keperluan RM300 juta untuk aktiviti penanaman semula 15,000 hektar ladang.

Artikel Berkaitan:

FGV turut mengalami susut nilai dalam akaun belum diaudit kepada RM795.67 juta dan terbelenggu dengan pelaburan yang tidak produktif.

Katanya bantuan khas sebanyak RM77 juta telah disalurkan Felda pada Disember 2018.

Pinjaman ini adalah langkah interim kerajaan membantu Felda bagi melunaskan bayaran-bayaran tertunggak pada 2018 dan memenuhi obligasi kepada peneroka, sehingga isu kewangan dapat diselesaikan. - Bernama