Bekas Presiden Sri Lanka boleh masuk ke Thailand

Gotabaya Rajapaksa. - Agensi
Gotabaya Rajapaksa. - Agensi
A
A
A

BANGKOK - Bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa boleh masuk ke Thailand seperti yang diminta oleh kerajaan negaranya, tetapi untuk tempoh sementara.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat dalam satu kenyataan berkata, pertimbangan untuk membenarkan Gotabaya masuk adalah berdasarkan hubungan mesra yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.

"Sebagai pemegang pasport diplomatik Sri Lanka, bekas presiden (Gotabaya) boleh masuk ke Thailand tanpa visa untuk tempoh 90 hari, mengikut Perjanjian Pengecualian Visa 2013 antara Thailand dan Sri Lanka.

"Beliau boleh tinggal sementara dengan tujuan perjalanan seterusnya. Tidak ada permohonan suaka politik,” katanya ketika diminta mengulas laporan mengenai pergerakan Gotabaya ke Thailand dari Singapura.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bila Gotabaya akan tiba tetapi media tempatan melaporkan beliau dijangka tiba di Thailand pada Khamis.

Thailand akan menjadi negara persinggahan sementara kedua Gotabaya di Asia Tenggara.

Bekas presiden itu melarikan diri dari Sri Lanka pada Julai ke Singapura pada 14 Julai melalui Maldives di tengah-tengah bantahan besar-besaran terhadap krisis ekonomi terburuk negara pulau itu dalam tempoh tujuh dekad.

Bulan lalu, kementerian luar Singapura mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa Gotabaya dibenar masuk ke Singapura atas kapasiti 'lawatan peribadi'.

Jurucakap MFA Singapura berkata, Gotabaya tidak meminta suaka dan tidak diberikan sebarang suaka. - Bernama