Anggota bomba dalam video tular bukan Adib

Pegawai Penyiasat Kanan Polis ACP Lew Keng Jeo hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Pegawai Penyiasat Kanan Polis ACP Lew Keng Jeo hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pegawai penyiasat memberitahu kelibat anggota bomba yang berada antara jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pada insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November tahun lepas bukan Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perkara itu disahkan oleh Pegawai Penyiasat Kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, ASP Lew Keng Joe.

Beliau sebaliknya berkata kelibat anggota bomba itu adalah rakan setugas Muhammad Adib, Mohd Hazim Mohd Rahimi, 31.

Katanya Mohd Hazim juga mengesahkan individu yang dimaksudkan adalah dirinya selepas rakaman percakapannya diambil.

"Ikut rakaman percakapan Hazim, beliau berada antara jentera (FRT) dan van (EMRS)," katanya pada inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib di hadapan Koroner Rofiah Mohamad di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada Pegawai Pengendali inkues Faten Hadni Khairuddin selepas menonton video baharu berdurasi 22 saat yang ditayangkan di mahkamah hari ini.

Video tersebut memaparkan situasi ketika jentera FRT dan van EMRS sampai di lokasi kejadian sebelum mengundur kerana diserang sekumpulan orang awam.

FATEN: Terdapat dakwaan bahawa itu (anggota bomba yang berada di belakang FRT) adalah Muhammad Adib dan dakwaan itulah mangsa tersepit. Adakah dakwaan ini betul?

Artikel Berkaitan:

LEW: Hasil siasatan, fakta itu tidak betul... sebab dari rakaman percakapan, orang yang berada di antara FRT dan van EMRS adalah Mohd Hazim.

FATEN: Mangsa pada masa itu?

LEW: Dalam rakaman percakapan, semua anggota bomba (terbabit) mengatakan bahawa Adib adalah anggota van EMRS dan Adib tidak memakai sebarang “fire jacket” dan topi keledar dan hanya memakai baju celoreng bomba.

Pada prosiding hari ini, tujuh video berkaitan kejadian berkenaan ditayangkan termasuk rakaman video Muhammad Adib diusung ke sebuah kenderaan.

Dalam sesi tayangan itu, enam saksi yang sudah memberi keterangan turut sama menonton semua video terbabit.

Mereka ialah lima anggota bomba, pemandu jentera FRT, Md Elliza Mohd Noor (saksi kedua); Pegawai Perubatan, Ahmad Shahril Othman (saksi ketiga); Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2, Badrul Hisyam Salim@Ali (saksi kelima); Mohd Hazim (saksi keenam); Mohd Sharol Anuar Kamaruddin ( saksi ketujuh) serta orang awam, R Narresh (saksi kesembilan).

Dalam pada itu saksi memberitahu lakonan semula yang menunjukkan punca kecederaan Muhammad Adib dibuat hanya berdasarkan laporan bedah siasat patologi.

Beliau juga berkata beliau sebelum ini menjalankan siasatan kes yang mendapat perhatian negara itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan selepas menerima arahan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman.

"IPK Selangor dan Bukit Aman menjelaskan akan cuba mengesan suspek di tempat kejadian yang mungkin melihat perkara sebenar pada awal pagi 27 November 2018," katanya.

Beliau berkata polis kemudian mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas kematian Muhammmad Adib pada 17 Disember lepas.

Muhammad Adib, 24, anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak kuil itu pada tarikh tersebut.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN pada 17 Disember lepas.

Prosiding inkues sambung 9 April depan dengan dua saksi pakar baharu memberikan keterangan. - Bernama