Ruang solat Jumaat KLIA dijangka beroperasi akhir Mei: MAHB

MAHB
MAHB
A
A
A

SEPANG - Ruang solat di bahagian bumbung (rooftop) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang boleh digunakan untuk menunaikan solat Jumaat dijangka mula beroperasi akhir Mei ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini berkata ruang solat itu perlu mendapat kelulusan daripada Pejabat Agama Daerah Sepang terlebih dahulu sebelum boleh digunakan untuk solat Jumaat.

"Malaysia Airports akan membuat pengumuman segera sekiranya kami mendapat kelulusan lebih awal daripada yang dijangkakan," kata pengendali lapangan terbang itu susulan maklumat yang tular di aplikasi WhatsApp bahawa ruang solat itu sedia digunakan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat bermula 5 April ini.

MAHB berkata inisiatif mewujudkan ruang solat Jumaat di KLIA merupakan satu daripada usahanya untuk memudahkan umat Islam, khususnya kakitangan lapangan terbang yang menghadapi kekangan masa untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.

MAHB berkata ruang solat itu juga kelak akan terbuka untuk kegunaan orang ramai.

Malaysia Airports juga berkata ia telah menyediakan empat bas percuma sejak Disember tahun lepas (2018) iaitu dua di KLIA dan dua lagi di klia2 bagi kegunaan pengguna di terminal yang ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA.- Bernama

Artikel Berkaitan: