Hina nabi: Kerajaan digesa wujud hukuman lebih keras

Abdul Halim (empat kanan, duduk) dan sebahagian wakil NGO Islam yang hadir pada sidang media Himpunan Sayangi Rasulullah Peringkat negeri Kedah berhadapan Masjid Zahir, Alor Setar.
Abdul Halim (empat kanan, duduk) dan sebahagian wakil NGO Islam yang hadir pada sidang media Himpunan Sayangi Rasulullah Peringkat negeri Kedah berhadapan Masjid Zahir, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Undang-undang atau hukuman lebih keras kepada individu yang menghina Nabi Muhammad SAW perlu digubal sebagai amaran dan juga ingatan agar penghinaan sedemikian rupa tidak berulang lagi.

Pengerusi Penganjur Himpunan Sayangi Rasulullah Peringkat negeri Kedah, Datuk Abdul Halim Ali, berkata kerajaan disaran untuk menggubal undang-undang sedia ada selepas kesal dengan penghinaan dan tindakan biadab dilakukan oleh segelintir individu sebelum ini.

Menurutnya, tindakan lebih tegas wajar dikenakan agar ia menjadi teladan selain mengekang perkara tersebut terus berlarutan di dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

"Apa yang berlaku sebelum ini memang jelas mengoreskan hati seluruh umat Islam di negara ini apabila ada yang menghina junjungan besar Rasulullah SAW. Tiada siapa yang berhak untuk menghina baginda.

"Disebabkan perkara ini, kami akan menganjurkan Himpunan Sayangi Rasulullah SAW berhadapan Masjid Zahir selepas solat Jumaat pada hari Jumaat ini," katanya pada sidang media, petang tadi.

Jelasnya, lebih 50 NGO Islam mengesahkan akan turut hadir memberikan sokongan dan beliau menyeru seluruh rakyat negeri ini turut hadir memberikan sokongan sebagai saksi kasih dan cinta terhadap Rasulullah SAW.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi penganjur himpunan terbabit, Mohd Ali Selamat, berkata dijangka kira-kira 2,000 umat Islam akan hadir membanjiri dataran tersebut.

Menurutnya, himpunan tersebut adalah sebagai bukti bahawa ia bukan diadakan secara bermusim apabila timbul sesuatu isu sebaliknya sebagai tanda kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada baginda.

Artikel Berkaitan:

"Kami menyeru semua umat Islam agar hadir untuk memberikan sokongan dan pada program yang sama akan disertai oleh keturunan Rasulullah iaitu Habib Alwi Mustafa Al-Haddad," katanya.