X

Kindly register in order to view this article
!

Tutup segera tapak pelupusan sampah haram

Andansura (dua kanan) dan Shaharuddin (kanan) bersama penduduk menunjukkan timbunan sampah yang dibuang di tapak itu.
A
A

KUANTAN- Masalah bau busuk dan asap daripada aktiviti pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Bukit Nangka, Balok di sini perlu ditangani segera bagi mengelak timbul masalah yang lebih serius.

Langkah penutupan segera tapak pelupusan sampah haram itu perlu diambil bagi menamatkan masalah yang sekian lama mengganggu keselesaan penduduk sekitar.

ADUN Beserah, Andansura Rabu berkata, jika masalah itu tidak diatasi dengan tindakan lebih tegas dan drastik, pelbagai masalah lain melibatkan isu alam sekitar akan berlaku.

Menurutnya, pada masa yang sama, tindakan penguatkuasaan perlu diambil termasuk menangkap dan mendakwa pihak yang membuang sampah di tapak pelupusan sampah haram itu sebagai pengajaran.

"Kita difahamkan, sampah yang dibuang di sini merupakan sisa domestik dan buangan daripada projek pembinaan dan buangan sisa kilang.

"Kita percaya ada pihak tertentu termasuk kontraktor yang menjalankan kutipan bahan buangan ini sengaja memilih tapak itu untuk menjimatkan kos berbanding dibuang tapak pelupusan sampah yang sah,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi bersepadu membanteras aktiviti pembuangan sampah di tapak itu, hari ini.

Operasi yang dijalankan sejak 1 April lalu disertai pegawai dari SWCorp Pahang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), polis, wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) setempat dan penduduk.

Keadaan kawasan tapak buangan sampah haram yang menimbulkan keresahan penduduk.
Keadaan kawasan tapak buangan sampah haram yang menimbulkan keresahan penduduk.

Dalam operasi itu, dua lori berjaya dihalang daripada membuang sampah di kawasan tersebut dan pemandunya diarah supaya membuang muatan ke tapak pelupusan yang sah berdekatan.

Andansura berkata, semua pihak perlu mengambil pengajaran tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini supaya kejadian seumpama itu tidak berlaku di sini.

"Kita bimbang jika masalah pembuangan sampah ini tidak ditangani dan dibiarkan terus berleluasa, kejadian itu boleh berlaku di kawasan itu.

"Berhampiran tapak ini ada anak sungai yang mengalir ke Sungai Nyior dan terus ke Sungai Balok dan kemungkinan pencemaran di sini boleh mengalir masuk ke sungai berkenaan," katanya.

Andansura berkata, perkara itu sudah di bawah perhatian Pejabat Tanah dan Daerah untuk tindakan memandangkan tapak itu merupakan tanah kerajaan.

"Jadi kita harap pihak berkenaan melihat status tapak itu dan jika perlu notis penutupan dikeluarkan supaya ia tidak terus diceroboh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Balok Baru, Shaharuddin Mohamed berkata, pihak berkaitan diminta supaya membuat pemantauan berterusan bagi menghalang pembuangan dan pembakaran sampah di tapak itu.

Katanya, masalah bau busuk dan asap menjejaskan kehidupan kira-kira 4,000 penduduk tidak termasuk pelajar sebuah sekolah berdekatan.

"Selalunya, aktiviti pembakaran sampah di tapak ini dilakukan pada waktu petang dan setiap malam kami terganggu dengan bau busuk.

"Jadi kami harap tapak ini ditutup segera demi keselesaan dan kesihatan penduduk,"katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus