Hari pertama perbicaraan, Najib mohon tangguh kes lagi

A
A

Hari pertama perbicaraan, Najib mohon tangguh kes lagi

Baru sahaja hari pertama perbicaraan hari ini, namun Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi cuba menangguhkan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, apabila memfailkan notis usul bagi mencabar tuduhan terhadapnya.

Peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang pihaknya sudah memfailkan notis itu hari ini.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata tindakan pihak pembelaan memfailkan notis itu pada saat akhir adalah satu usaha untuk melengahkan perbicaraan.

Hari ini, Najib, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC International berjumlah RM42 juta.

Genting Malaysia Bhd beli Equanimity RM514.6 juta

Selepas tempoh lima bulan diumumkan untuk jualan, kapal layar mewah Equanimity akhirnya disahkan dijual kepada Genting Malaysia Bhd ataupun syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV) nya pada harga RM514.6 juta.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada hari ini telah memberikan kelulusan untuk menerima, penjualan Equanimity kepada Genting atas terma-terma dan syarat-syarat Syerif.

Menurut Tommy, memandangkan tawaran daripada Genting dirunding secara terus dengan kerajaan Malaysia, tiada komisen ejen yang perlu dibayar sekali gus membawa kepada penjimatan sebanyak 4.4 juta dolar Amerika Syarikat.

Katanya, hasil jualan kapal mewah itu akan diterima mahkamah pada penghujung April 2019 dan ia bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk kerajaan Malaysia dalam jangka masa cuma lapan bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan.

Lelaki amuk cedera ditembak polis direman tujuh hari

Lelaki yang cedera ditembak ketika mengamuk di hadapan sebuah bank di Klang semalam kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki berkenaan kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),selepas cedera terkena dua das tembakan di perut.

Semalam seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah telah mengamuk selain turut menyerang dua anggota polis dalam satu kejadian di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, selepas gagal mengeluarkan wang daripada sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, tindakan lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Sabah itu membawa padah apabila dia cedera di perut selepas ditembak anggota polis.

Jualan rokok haram di Malaysia tertinggi di dunia

Sebanyak 58.9% rokok yang dijual di Malaysia adalah haram, meletak Malaysia sebagai negara dengan jualan rokok haram paling tinggi di dunia, menurut kajian Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia.

Pada sidang media berhubung kajian oleh pusat kajian Nielson hari ini, Pengarah Urusan JTI Malaysia Commac O’Rourke berkata jualan rokok haram mencecah 12 bilion batang pada 2018, meningkatkan 3.3% berbanding 2017.

Kajian Rokok Haram 2018 menunjukkan sejumlah 153,000 pek rokok dibuang ke jalanan dan tong sampah seluruh negara sepanjang tahun.

Ini dianalisis menerusi setem cukai tempatan dan pembungkusan tulen.

Kajian mendapati jualan rokok haram sangat berleluasa di Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan Terengganu, dengan 70% dan 80% pek rokok dari kawasan ini adalah rokok haram.

KTM, ETS umum tarikh jualan tiket sempena Aidilfitri tahun ini

Tiket perjalanan bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity bersempena perayaan Aidilfitri tahun ini akan mula dijual pada 10 April ini.

Dalam kenyataanya hari ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata penjualan tiket bagi perjalanan antara 1 Mei hingga 16 Jun depan adalah berdasarkan jadual waktu sedia ada.

Sebanyak 36 perjalanan kereta api ETS dan 49 perjalanan kereta api KTM Intercity disediakan bagi menampung permintaan tinggi bersempena musim cuti perayaan tersebut, demikian menurut kenyataan berkenaan.

Tiket boleh dibeli dalam talian melalui laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau menerusi aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) serta di kaunter-kaunter tiket KTMB.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia