Wujud ketirisan, salah urus di Kem Pengakap Melaka: Norhizam

Norhizam melakukan lawatan mengejut di Kem Pengakap Melaka hari ini.
Norhizam melakukan lawatan mengejut di Kem Pengakap Melaka hari ini.
A
A
A

MELAKA - Barisan ahli jawatankuasa Persekutuan Pengakap Malaysia negeri Melaka sesi 2015 hingga 2018 diberi tempoh selama seminggu untuk menyerahkan segala dokumen berkaitan termasuk laporan kewangan persatuan itu.

Pemangku Pengerusi pertubuhan itu, Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika jawatankuasa lama itu gagal mengemukakan kesemua dokumen terbabit dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut Norhizam yang juga Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, beliau difahamkan semenjak tahun 2012 laporan kewangan pertubuhan itu gagal dibentangkan dan diaudit oleh juruaudit bertauliah.

"Pada 2018 lalu, mesyuarat agung telah diadakan namun ia tidak disahkan oleh ibu pejabat Pertubuhan Pengakap Malaysia kerana tiada pembentangan kewangan dan aktiviti.

"Kami mensyaki ada sesuatu yang tidak kena termasuk tidak menolak wujud unsur ketirisan dan salah urus pertubuhan ini," katanya selepas mengadakan lawatan mengejut ke Kem Pengakap Melaka di Kampung Pengkalan Badak, Bukit Katil di sini, hari ini.

Tapak perkhemahan pengakap.
Tapak perkhemahan pengakap.

Hadir sama dalam lawatan itu, Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Melaka, Ong Beng Huat dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Melaka yang baharu, Abdul Hamid Mustapa.

Selain itu, Norhizam turut mendakwa, wang simpanan tetap (fix deposit) milik pertubuhan itu yang berjumlah RM400,000 turut lesap.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga mendapati baki di akaun semasa pertubuhan ada sebanyak RM91,780 tetapi pada November tahun lalu, ia hanya berbaki tidak sampai RM2,000.

"Pertubuhan Pengakap Melaka juga mempunyai pendapatan antara RM9,000 hingga RM11,000 sebulan menerusi sewaan asetnya di sekitar Melaka namun menjadi persoalannya sekarang ke mana pergi semua pendapatan itu," katanya.

Malah, katanya, pertubuhan itu turut menanggung bebanan hutang lebih RM70,000 kerana gagal membayar tunggakan utiliti sejak tiga tahun lalu.

Keadaan salah satu bangunan pejabat yang terbiar.
Keadaan salah satu bangunan pejabat yang terbiar.

"Kami turut mengesyaki berlaku unsur perbuatan khianat apabila kem ini kehilangan pelbagai peralatan pengakap, bekalan elektrik diputuskan, beberapa unit alat penyaman udara dicuri, bangunan dipecahkan, perkakas masak semua hilang sehinggakan satu pinggan pun tidak kelihatan lagi.

"Ketidakcekapan jawatankuasa sebelum ini telah mengakibatkan kem terbabit gagal diurus dengan sempurna hingga terpaksa ditutup sementara disebabkan berlaku pelbagai kerosakan termasuk bangunan musnah dimakan anai-anai," katanya yang turut menyalah kerajaan terdahulu kerana tidak mengambil tahu masalah yang berlaku.

Kem Pengakap Melaka bernilai lebih RM1 juta dibangunkan pada 1994 di kawasan seluas 6.4 hektar di Kampung Pengkalan Badak.

Antara kemudahan yang terdapat di kem ini termasuk latihan halangan komando, lima buah pondok aktiviti, dewan utama, surau, dewan makan, asrama, rumah warden, tandas serta tapak perkhemahan yang mampu memuatkan lebih 5,000 peserta.

Kem berkenaan menjadi antara lokasi utama di negara ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti pengakap sama ada di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa sebelum ia terbengkalai pada 2015.