Israel-Jihad Islam setuju gencatan senjata

Sebuah bangunan kediaman musnah akibat serangan udara tentera Israel di Gaza pada Sabtu lalu. - Foto AFP
Sebuah bangunan kediaman musnah akibat serangan udara tentera Israel di Gaza pada Sabtu lalu. - Foto AFP
A
A
A

BANDAR GAZA - Gencatan senjata antara Israel dengan kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam telah dicapai dan berkuatkuasa pada jam 11. 30 malam waktu tempatan pada Ahad.

Ia berkuat kuasa selepas tiga hari tentera Israel melancarkan serangan udara yang menyebabkan sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh.

Kumpulan Jihad Islam berkata, gencatan senjata itu bermula pada jam 11.30 waktu tempatan selepas Mesir menjadi pengantara dalam rundingan tersebut.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Yair Lapid mengesahkan gencatan senjata itu.

Kementerian Kesihatan Gaza telah menyalahkan pencerobohan Israel berikutan kematian penduduk Palestin dan lebih 300 orang lagi yang cedera dalam serangan itu.

Israel memulakan serangan di Gaza pada Jumaat lalu dalam operasi dikenali sebagai Breaking Dawn dengan sasaran para pejuang kumpulan Jihad Islam.

Serangan itu menyebabkan komander Jihad Islam, Tayseer Al Jabari terkorban.

Ia juga melancarkan serangan ke atas dua skuad anti-kereta kebal yang dikatakan Israel akan melancarkan serangan ke atas tenteranya. - Agensi