Lelaki amuk gara-gara upah RM50 direman

Suspek direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Suspek direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki nyaris ditetak gara-gara meminta semula wang upah RM50 dari seorang buruh di flat Desa Keluarga, Chendering, di sini, pagi semalam.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 9.42 pagi apabila mangsa, 56, pergi ke rumah suspek, 38, untuk meminta semula duit upah RM50 yang diberikan sebelum ini sebagai bayaran pendahuluan bagi kerja-kerja pembersihan.

"Suspek yang bekerja sebagai buruh sebelum ini berjanji akan melakukan kerja-kerja pembersihan seperti diarahkan, malah turut menerima wang pendahuluan sebagai upah untuk kerja itu.

"Bagaimanapun, mangsa mendapat tahu yang suspek mungkir janji kerana tidak melakukan kerja-kerja yang diamanahkan sebelum ini.

"Bengang dengan tindakan itu, mangsa nekad meminta semula duit upah tersebut, tetapi suspek enggan memberi semula wang berkenaan sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara mereka," katanya.

Jelas sumber, selepas mendapati situasi semakin tegang, mangsa yang bimbang berlaku perkara tidak diingini mengambil keputusan beredar dari pekarangan rumah suspek.

"Semasa menuju ke kenderaannya, mangsa ternampak suspek datang menuju ke arahnya sambil memegang sebilah golok dan terus melibasnya tetapi dia sempat mengelak.

"Mangsa terus masuk ke dalam kenderaannya dan sekali lagi suspek bertindak membaling senjata itu sebelum terkena pada bahagian belakang pacuan empat roda jenis Hilux yang dinaiki," katanya.

Artikel Berkaitan:

Meskipun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri.

Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Chendering, di sini, suspek berjaya ditangkap kira-kira jam 1.20 pagi tadi di rumahnya.

Suspek kini direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim.