Ancaman letupan: Tujuh pekerja direman

Tujuh lelaki ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini bagi membantu siasatan ancaman letupan
Tujuh lelaki ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini bagi membantu siasatan ancaman letupan
A
A
A

IPOH - Tujuh pekerja sebuah premis makanan segera ditahan reman selama empat hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan ancaman letupan di sebuah tandas di tingkat dua bangunan itu di Taman Ipoh, semalam.

Perintah reman ke atas semua lelaki berusia 20 hingga 33 tahun itu dikeluarkan di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar sekitar jam 11 pagi tadi.

Terdahulu, mereka tiba di Mahkamah Majistret Ipoh pada jam 10 pagi diiringi polis.

Mereka ditahan, semalam bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah.

Kejadian sekitar jam 8.30 malam itu disedari seorang pelanggan yang menemui objek hitam berbentuk empat segi disyaki bahan letupan diletakkan di pam tandas wanita beserta nota ugutan di dinding.

Nota di dinding yang ditulis menggunakan pen penanda berwarna merah itu menyebut bahawa 'tempat ini akan meletup'.

Bagaimanapun unit pemusnah bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang menjalankan siasatan mengesahkan tiada sebarang bentuk letupan dan bangunan itu selamat dihuni.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ancaman bom: Premis makanan segera diarah kosongkan bangunan]

Artikel Berkaitan: