Lampard puas hati aksi pemain

Frank Lampard - Foto Football 365
Frank Lampard - Foto Football 365
A
A
A

BIARPUN gagal meraih kemenangan pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Chelsea di Goodison Park, namun pengendali Everton, Frank Lampard tetap berpuas hati dengan aksi dipersembahkan skuad kendaliannya itu.

Menurut Lampard, kesemua pemain telah memberikan aksi terbaik masing-masing dalam usaha menghasilkan kejayaan buat pasukan.

“Sebenarnya saya agak kecewa dengan kekalahan berkenaan, namun di sebalik itu saya dapat melihat perkara-perkara yang positif.

“Justeru, ia diharap dapat membantu menguatkan semula semangat saya untuk terus mengemudi kelab ini selagi terdaya.

“Seterusnya saya akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan dalam masa sama turut memastikan pasukan ini melakar kejayaan demi kejayaan musim ini,” katanya.

Chelsea menang 1-0 hasil sepakan penalti pada penghujung masa kecederaan separuh masa pertama yang disempurnakan oleh Jorginho.

Sementara itu, Lampard berpuas hati dengan aksi dipersembahkan pemain import, Anthony Gordon, Demarai Gray dan juga pemain sayap yang baru menandatangani kontrak dengan The Toffees, Dwight McNeil.

Katanya, kehadiran McNeil diharap dapat membantu mengisi posisi Dominic Calvert-Lewin yang dilanda masalah kecederaan berpanjangan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berpuas hati dengan aksi dipamerkan ketiga-tiga pemain ini, contohnya Gordon dilihat berjaya memikul tanggungjawab selaku penyerang manakala McNeil selaku pemain sayap.

“Selain itu, kita juga tidak sabar untuk menyaksikan pemain Senegal, Amadou Onana yang beraksi di posisi tengah bertahan,” katanya.