Cuaca dingin jejas fokus Jackie di Birmingham 2022

Jackie Wong
Jackie Wong
A
A
A

CUACA dingin serta keadaan angin di Stadium Alexander ternyata menjejaskan persembahan jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer selepas menamatkan cabaran di tangga tercorot pada aksi final dalam Sukan Komanwel 2022 Birmingham pada Sabtu.

Jackie yang sekadar membuat balingan 61.40 meter (m), mengakui tidak biasa bertanding dalam situasi cuaca berkenaan sehingga menyaksikannya kurang menyerlah pada penampilan pertamanya di Sukan Komanwel kali ini.

"Saya sangat tak puas hati dengan catatan serta kedudukan hari ini (Sabtu) namun pengalaman beraksi di sini sangat berharga apabila dapat bertanding bersama atlet hebat dari luar negara dalam acara baling tukul besi," katanya.

Sehubungan itu, Jackie berkata beliau mahu melupakan episod kekecewaan di sini dengan memberi tumpuan terhadap Sukan SEA Kemboja 2023 serta Sukan Asia di Hangzhou, China, pada tahun depan.

Balingan yang direkodkan Jackie juga jauh daripada rekod kebangsaan dilakukannya iaitu 68.22m sewaktu Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Ogos 2019.

Sementara itu, wakil tuan rumah, Nick Miller mengungguli acara tersebut dengan catatan 76.43m manakala atlet Kanada iaitu Ethan Katzberg merangkul perak dengan 76.36m dan Alexandros Poursanidis dari Cyprus pula merekodkan 73.97m untuk meraih gangsa. - Bernama