Pihak tiada kaitan buat kecoh: DBKL

Sesi pengundian Bazar Ramadan Jalan Raja kecoh dan tergendala kira-kira 1 jam 30 minit semalam ekoran wujud bantahan terhadap pemindahan lokasi tapak bazar berkenaan.
Sesi pengundian Bazar Ramadan Jalan Raja kecoh dan tergendala kira-kira 1 jam 30 minit semalam ekoran wujud bantahan terhadap pemindahan lokasi tapak bazar berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran pihak tidak mempunyai kaitan dikenal pasti punca kekecohan ketika proses pengundian tapak Bazar Ramadan Jalan Raja di Stadium Titiwangsa semalam.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, tiada bantahan diterima Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada peniaga yang layak mengundi untuk Bazar Ramadan Jalan Raja ketika proses pengundian dijalankan semalam.

Menurutnya, kesemua peniaga pada dasarnya akur dan bersedia berniaga di lokasi baharu.

“Kami dapati tiada seorang pun daripada 1,331 pemohon yang layak mengundi untuk tapak bazar tersebut membantah atau keluar dari bangunan sebagai tanda protes.

“Kesemua yang layak mengundi telah jalankan tanggung jawab mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, DBKL sedia mendengar pandangan peniaga yang meminta supaya jumlah petak di lokasi tapak Bazar Ramadan Jalan Raja ditambah.

Katanya, keputusan berhubung cadangan itu akan diputuskan kemudian.

Beliau berkata, proses pengundian untuk semua lokasi Bazar Ramadan di Kuala Lumpur dijalankan secara berperingkat mengikut kawasan Parlimen bermula Selasa lalu hingga esok di Stadium Titiwangsa.

Artikel Berkaitan:

Semua pemohon yang berjaya melepasi proses semakan sudah dimaklumkan keputusan permohonan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke nombor talian mudah alih yang didaftarkan semasa membuat permohonan.

“SMS dihantar kepada pemohon mulai 29 Mac bagi memaklumkan hari pengundian mengikut tarikh ditetapkan. Hanya pemohon layak dibenarkan hadir.

“Bagaimanapun pagi semalam terdapat sedikit kekecohan berlaku ketika proses pengundian untuk Parlimen Bukit Bintang bagi lokasi Jalan Raja.

“Kekecohan dapat dikawal dengan baik oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Ismadi Sakirin setelah peniaga dimaklumkan dengan keadaan sebenar,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sesi pengundian Bazar Ramadan Jalan Raja (menggantikan bazar Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India) kecoh dan tergendala kira-kira 1 jam 30 minit ekoran wujud bantahan terhadap pemindahan lokasi tapak bazar berkenaan.

Peniaga yang tidak berpuas hati dilapor bertindak melakukan protes dengan menyerbu pentas pengundian.

Bagaimanapun keadaan berjaya dikawal anggota dan pegawai DBKL, proses pengundian diberhentikan untuk melakukan rundingan bersama peniaga.

Rundingan kira-kira setengah jam itu buntu apabila bantahan mereka tidak diterima DBKL dan sesi undian diteruskan apabila majoriti peniaga tidak berganjak.

ARTIKEL BERKAITAN Undian tapak bazar Ramadan DBKL tergendala lebih 1 jam