167,000 rakyat Kelantan masih belum daftar mengundi

Fakhrul Razi
A
A

KOTA BHARU - Lebih 167,000 rakyat negeri ini yang berumur 21 tahun dan layak memilih masih lagi tidak menjalankan tanggungjawab untuk mendaftar mengundi.

Pengarah Pilihan Raya Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 3.7 juta untuk seluruh negara dan angka tersebut membuktikan kesedaran rakyat terhadap perkara itu masih lagi berkurangan.

"Dalam beberapa siri PRK yang lepas, tahap keluar mengundi masih tidak mencapai 50 peratus.

"Banyak faktor mendorong kepada perkara tersebut, malah ada penjawat awam yang hampir pencen pun masih lagi tidak daftar mengundi," katanya kepada media di sini.

Beliau berkata, setakat ini sejumlah 1.049 juta pengundi sudah berdaftar di Kelantan dan kekurangan itu disebabkan beberapa faktor antaranya tidak mahu campur hal politik dan sebagainya.

"Sedangkan ia merupakan satu tanggungjawab setiap rakyat.

"Dalam masa yang sama, semangat patriotik berkurangan dan kurangnya akses sehingga menjadikan mereka 'malas' untuk mendaftar," katanya.

Beliau hadir merasmikan program Amalan Demokrasi Berparlimen Kelab Malaysiaku di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, di sini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Azhar Ismail.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia