Sila log masuk terlebih dahulu.

Menteri Luar ASEAN tekankan kerjasama kesihatan, maritim dan tenaga

Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN Ke-55 yang berlangsung pada Rabu di Phnom Penh, Kemboja menekankan kerjasama serantau dalam bidang penyelidikan dan penghasilan vaksin serta penambahbaikan sistem kesihatan. - Foto 123RF
Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN Ke-55 yang berlangsung pada Rabu di Phnom Penh, Kemboja menekankan kerjasama serantau dalam bidang penyelidikan dan penghasilan vaksin serta penambahbaikan sistem kesihatan. - Foto 123RF
A
A
A

PHNOM PENH - Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN Ke-55 yang berlangsung pada Rabu di Phnom Penh, Kemboja menekankan kerjasama serantau dalam bidang penyelidikan dan penghasilan vaksin serta penambahbaikan sistem kesihatan.

Mesyuarat itu turut membincangkan kesalinghubungan antara badan serantau, merapatkan jurang pembangunan, kerjasama maritim serta isu-isu seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan tenaga.

Menteri-menteri luar juga bersetuju bahawa ASEAN harus mempromosikan tanggungjawabnya, mengekalkan perpaduan, bersatu dan bertindak balas secara fleksibel dalam semua situasi, lapor Agensi Berita Vietnam.

Mengenai kerjasama antarabangsa, para diplomat tertinggi ASEAN menekankan bahawa badan serantau itu perlu mengambil pendekatan yang seimbang, menyuarakan pandangan secara sepakat, mempromosikan mekanisme pimpinan ASEAN, dialog, dan meningkatkan kepercayaan dan pematuhan undang-undang antarabangsa dengan berkesan.

Menyuarakan kebimbangan yang mendalam mengenai situasi di Myanmar, para menteri turut mengalu-alukan dan menyokong usaha Pengerusi ASEAN dan Duta Khas ke Myanmar dalam menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

Mereka juga membincangkan penyelesaian secara berkesan dengan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk sesi dialog di Myanmar.

Menteri-menteri ASEAN turut membincangkan beberapa isu yang timbul di rantau ini, terutamanya perkembangan baharu di Laut Timur, persaingan antara kuasa besar, dan konflik di Ukraine serta Semenanjung Korea.

Mereka menyeru pihak yang berkaitan untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh merumitkan keadaan, menghormati undang-undang antarabangsa, dan prinsip termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

Artikel Berkaitan:

Diplomat ASEAN turut menyaksikan pemeteraian TAC oleh Denmark, Greece, Belanda, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.

Menteri-menteri luar ASEAN dan rakan kongsi mereka akan menghadiri mesyuarat ASEAN+1 dan ASEAN+3 pada Khamis. - Bernama