Empat ADUN minta peguam kaji semula keputusan mahkamah

Dari kiri: Afif Bahardin, Khaliq Mehtab, Zolkifly Md Lazim, Zulkifli Ibrahim
Dari kiri: Afif Bahardin, Khaliq Mehtab, Zolkifly Md Lazim, Zulkifli Ibrahim
A
A
A

GEORGETOWN - Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN) mahu terus berkhidmat di kawasan masing-masing.

ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim dalam kenyataan bersama memaklumkan akan mengarahkan peguam untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap mereka bagi membolehkan melaksanakan tugas sebagai ADUN yang dipilih secara sah.

"Kami telah dimaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang tidak melanggar hak kebebasan berpersatuan yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Dengan itu, Mahkamah Persekutuan telah mengubah dan mengenepikan undang-undang yang terdiri utuh selama 30 tahun.

"Kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi kami tidak bersetuju dengannya. Oleh demikian, kami akan mengarahkan peguam kami untuk mengkaji semula perkara berkenaan," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Sebelum ini, keempat-empat mereka telah memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong PN.

Bagaimanapun pada Rabu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan itu juga menyatakan, mereka mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan kerana ia didakwa disalahgunakan terhadap mereka.

"Kami difahamkan, keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat berdasarkan alasan yang kurang tepat. Disebabkan itu, kami telah mengarahkan peguam untuk mengkaji semula perkara itu bagi membolehkan kami melaksanakan tugas sebagai ADUN yang dipilih secara sah.

"Kami tidak percaya parti politik diberi kuasa mutlak mengawal dan menentukan keputusan seseorang wakil rakyat. Sebagai wakil rakyat, kami mewakili semua rakyat di kawasan masing-masing (sama ada mereka mengundi parti kami atau tidak).

"Kami akan terus membuat keputusan berdasarkan kepentingan dan keperluan pengundi dan bukannya hanya atas tuntutan parti," katanya.

Mereka turut menegaskan tidak pernah berpaling tadah atau mengubah ketaatan setia kepada parti.

"Dua daripada kami telah dipilih di platform Bersatu dan kami kekal bersama Bersatu sementara dua lagi, telah dipecat daripada parti kami terdahulu kerana membuat kenyataan yang dianggap mengkritik kepimpinan parti.

"Ketua Menteri, Chow Kon Yeow telah menyatakan bahawa Kerajaan Pulau Pinang berhasrat untuk memastikan Perlembagaan Negeri selaras dengan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Jika kerajaan Pulau Pinang benar-benar telus, dalam semangat dwipartisan, mereka akan menarik balik usul untuk menyingkirkan kami sebagai ADUN.

"Adalah jelas bahawa di bawah pindaan yang dicadangkan, kami tidak akan kehilangan kelayakan," katanya.