Tangani ketegangan di Selat Taiwan secara berhemah

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memantau rapat perkembangan di Selat Taiwan selepas ketegangan meletus antara China dan Amerika Syarikat (AS) berikutan lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, Malaysia juga menggesa semua pihak yang berkenaan menangani situasi itu dengan amat berhati-hati dan penuh berhemah.

Bercakap kepada pemberita di luar Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-55 (AMM ke-55) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada Rabu, Saifuddin menegaskan, keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini mesti dikekalkan.

"Tanpa pergi lebih jauh, saya hanya ingin mengulangi hakikat bahawa kita mahu semua yang terbabit untuk menilai keadaan dan menanganinya dengan cara terbaik,” katanya.

Beliau berkata, beberapa negara anggota ASEAN turut mengesyorkan menteri-menteri luar ASEAN mengeluarkan kenyataan berhubung ketegangan AS-China.

Saifuddin berkata, Malaysia berpegang kepada dasar ‘Satu China’ dan mahu melihat keamanan serta kestabilan rantau ini terus terpelihara.

"Kita meletakkan nilai yang tinggi terhadap kedua-dua negara, AS dan China, apabila ia membabitkan perdagangan dan teknologi di rantau ini. Jadi kami mahu bersahabat dengan China dan AS,” katanya.

Rakaman kenyataannya itu diedarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) kepada media.

Hubungan antara China dan AS semakin tegang selepas Pelosi tiba di Taiwan pada Selasa.

China mengumumkan latihan ketenteraan membabitkan kapal perang dan kapal terbang selama empat hari di perairan berhampiran Taiwan ketika pegawai di Washington dan Beijing bertikam lidah berhubung lawatan itu.

Menteri Luar China, Wang Yi, pada Rabu menyifatkan lawatan itu sebagai pencabulan terhadap prinsip ‘Satu China’ dan kedaulatan negaranya.

Pelosi menjadi ahli politik tertinggi melawat pulau itu sejak 25 tahun. China menganggap pulau yang mempunyai kerajaan sendiri itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya menerusi dasar ‘Satu China’. - Bernama