ASP direman kes rasuah RM8,000

Anggota polis berpangkat asisten superintendan ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini.
Anggota polis berpangkat asisten superintendan ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang anggota polis berpangkat asisten superintendan ditahan reman selama tiga hari bermula, hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah wang tunai RM8,000 membabitkan sebuah syarikat di Teluk Intan pada Mac hingga Jun lalu.

Perintah reman ke atas suspek berusia 44 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak itu dikeluarkan di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Permohonan reman dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), R Kumuthambal bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Majistret Ipoh pada jam 11 pagi diiringi pegawai SPRM.

Angggota yang telah berkhidmat selama tujuh tahun di IPD Hilir Perak itu ditahan SPRM, semalam untuk tujuan siasatan berkaitan penerimaan wang rasuah bagi mendapatkan kelulusan pembaharuan lesen perniagaan barang-barang lusuh yang diusahakan sebuah syarikat di sekitar Teluk Intan.

Dua transaksi wang rasuah berjumlah RM4,000 dikesan dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya dan tunai RM4,000 berlaku sekitar Mac hingga Jun lalu.