Thailand sahkan kes ketiga cacar monyet

Thailand melaporkan kes ketiga cacar monyet membabitkan seorang pelancong warga Jerman. - Foto 123rf
Thailand melaporkan kes ketiga cacar monyet membabitkan seorang pelancong warga Jerman. - Foto 123rf
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan kes ketiga cacar monyet membabitkan seorang pelancong warga Jerman berusia 25 tahun, kata ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Opas Karnkawinpong.

Beliau berkata, lelaki itu tiba di Phuket pada 18 Julai dan mengalami simptom termasuk demam, bengkak dan ruam pada 23 Julai.

Lelaki itu telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pada 1 Ogos.

"Kami percaya dia dijangkiti virus itu sebelum memasuki Thailand. Pihak berkuasa kesihatan sedang meningkatkan pengesanan kontak rapat sebagai usaha membendung penularan wabak cacar monyet,” katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Sementara itu, Ketua Kesihatan Wilayah Phuket, Dr Kusak Kukiattikoon berkata, seramai tujuh individu, termasuk isteri dan ahli keluarga, dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit.

"Tiada seorang pun daripada mereka menunjukkan sebarang simptom dan kesemua mereka diletakkan di bawah pengawasan,” katanya.

Thailand melaporkan jangkitan cacar monyet pertama - seorang warga Nigeria berusia 27 tahun yang tiba di Phuket pada 18 Julai. Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri selepas dimaklumkan mengenai keputusan ujian awal terhadapnya positif.

Dia kemudiannya dijumpai di Phnom Penh dan menerima rawatan di sebuah hospital.

Pada 29 Julai, kes kedua cacar monyet membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun di Bangkok dan dia dilaporkan semakin pulih.

Kontak rapat bagi kes pertama dan kedua termasuk ahli keluarga mereka disahkan negatif wabak itu. - Bernama