Perbicaraan kes Najib bermula hari ini

A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes tujuh pertuduhan RM42 juta milik SRC International melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi akan bermula hari ini.

Secara kebetulannya, pada hari ini 10 tahun lepas, Najib, Ahli Parlimen Pekan, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia keenam.

Perbicaraan kes berprofil tinggi yang ditunggu-tunggu ini, akan dijalankan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada jam 2 petang.

Sehingga jam 9 pagi ini, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur beroperasi seperti biasa.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC Internatonal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Peguam Negara Tommy Thomas akan mengetuai pasukan pendakwaan yang dibarisi peguam kanan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk V. Sithambaran.

Pasukan itu turut dibantu DPP Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lufti Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.

Sementara, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan, dibantu peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah. - Bernama